PENGUNJUNG SETIA

17 Februari 2009

MAHARANI RIVIERA DIPANTAU 24 JAM

Oleh Jamaludin Husin
bhnews@bharian.com.my

Dua penduduk dikesan buang sampah

MUAR: Unit Penguatkuasa Majlis Daerah Tangkak (MDT), melakukan pemantauan 24 jam setiap hari, sejak 10 hari lalu bagi memastikan kawasan penempatan baru, Maharani Riviera, Tanjung Agas, di sini, tidak dicemari dengan kegiatan pembuangan sampah dan sisa pepejal.

Setiausaha MDT, Hasrin Kamal Hashim, berkata pemantauan itu dilakukan berikutan kegiatan pembuangan sampah dan sisa pepejal, oleh mereka tidak bertanggungjawab, di bahu jalan berdekatan dengan tebing Sungai Muar, sejak akhir tahun lalu.


Beliau berkata, hasil pemantauan itu, anggota unit penguatkuasa MDT dapat mengenal pasti dua penduduk tempatan yang dikesan membuang sampah di kawasan berkenaan.

"Mereka diberi amaran keras supaya tidak mengulangi perbuatan itu, sekali gus mengelak daripada dikenakan tindakan undang-undang, kerana melanggar Akta Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan dan Pelupusan Sampah Sarap (MDMU) 1988.

"Mengikut akta itu, mereka yang dikesan membuang sampah di kawasan larangan, boleh dikenakan kompaun sebanyak RM500," katanya kepada Berita Harian, di sini kelmarin.

Beliau mengulas laporan akhbar ini, baru-baru ini, mengenai pencemaran sampah sarap dan sisa pepejal, akibat tindakan pihak tidak bertanggungjawab, sehingga menjejaskan kebersihan dan keindahan, kawasan penempatan baru Maharani Riviera, baru-baru ini.

Berdasarkan laporan itu, pengunjung ke kawasan berkenaan melahirkan rasa kekecewaan mereka, terhadap sikap pihak tidak bertanggungjawab, menjadikan bahu jalan di tebing Sungai Muar, di situ, sebagai tempat pembuangan sampah.

Hasrin berkata, kawasan penempatan baru Maharani Riviera kini di bawah tanggungjawab MDT, sejak pembentukkan Daerah Ledang, tiga tahun lalu, sama ada dari segi pentadbiran, pengurusan termasuk kebersihan.

Beliau berkata, sebagai langkah pemantauan jangka panjang, kawasan bahu jalan sepanjang kira-kira 200 meter ke arah Sungai Muar itu, ditambak dengan tanah merah, yang dapat menambah lagi keceriaan pemandangan semula jadinya, kerana kedudukannya berdekatan dengan hutan paya bakau sepanjang tebing sungai itu.

"Kami juga meletakkan tiga papan tanda amaran, di sepanjang bahu jalan itu, supaya orang ramai tidak membuang sampah dan sisa pepejal di kawasan berkenaan pada jarak kira-kira 70 meter setiap satu," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 17 FEBRUARI 2009

Tiada ulasan: