PENGUNJUNG SETIA

22 Februari 2009

PENCURI TERBABAS DIKEJAR TUAN KERETA

TANGKAK: Seorang lelaki dipercayai penagih dadah yang sedang memandu kereta Proton Pesona dicurinya di Melaka hampir seminggu lalu, terbabas selepas dikejar pemilik kenderaan itu yang terserempak dengannya di Jalan Bekok, di sini kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, lelaki berusia 27 tahun berkenaan berjaya melarikan ke kebun kelapa sawit berhampiran dan meninggalkan kereta yang terbabas sebelum pemiliknya menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, berkata kereta itu dilaporkan hilang di Melaka, 17 Februari.

"Polis melancarkan operasi memburu suspek diketuai Ketua Siasatan Jenayah daerah, Asisten Superintendan Azmi Ali yang dibantu Unit Anjing Pengesan, tetapi suspek gagal dikesan," katanya, di sini semalam.

Katanya, kira-kira enam jam kemudian, polis yang melakukan sekatan jalan raya mengesan motosikal dinaiki dua lelaki yang mengelak daripada pemeriksaan dan berjaya ditahan berhampiran persimpangan Jalan Paya Mas.

"Siasatan mendapati seorang daripada lelaki itu ialah suspek yang melarikan diri ke kebun sawit, manakala seorang lagi ialah adiknya yang menunggang motosikal dari Negeri Sembilan untuk membantu suspek melarikan diri.

"Lelaki berusia 27 tahun itu dikehendaki polis kerana kes pecah rumah dan curi motosikal di Kuala Pilah, manakala adiknya berusia 25 tahun dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah di Selangor," katanya.

SUMBER: BERITA MINGGU, 22 FEBRUARI 2009

Tiada ulasan: