PENGUNJUNG SETIA

03 Februari 2009

REAKSI TERHADAP KENYATAAN CADANGAN NAIKKAN HARGA GULA

MUAR: Pelbagai pihak meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad supaya tidak lagi mengeluarkan kenyataan mengenai cadangan menaikkan harga gula kerana boleh mewujudkan situasi tidak sihat, termasuk mendorong peniaga menyorokkan bekalan bahan itu.

Pengerusi Kawasan Rukun Tatangga (KRT) Taman Damai, di sini, Aziz Mohamad, berkata sebarang kenyataan berhubung cadangan menaikkan harga barang keperluan termasuk gula perlu diteliti terlebih dulu di peringkat kerajaan sebelum diumumkan.

Beliau berkata, menteri tidak seharusnya mengumumkan cadangan itu tanpa memikirkan kesannya kepada orang ramai kerana setiap kali ada kenyataan sedemikian, peniaga akan mengambil kesempatan menangguk di air keruh, termasuk menyorok bekalan gula masing-masing.

“Keadaan itu sudah tentu menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat,” katanya ketika mengulas kenyataan Presiden Persatuan Perlindungan Pengguna Malaysia (PPPM), Mohd Firdaus Abdullah, baru-baru ini.

Firdaus dilaporkan berkata, kenyataan berhubung cadangan menaikkan harga gula boleh menimbulkan panik di kalangan masyarakat, selain mendorong peniaga menyorok bekalan bahan itu dan pengguna membeli secara berlebihan untuk stok sebelum harga dinaikkan.

Peniaga kuih, Salina Sulaiman, 38, dari Bukit Gambir, di sini berkata kenaikan harga gula boleh menimbulkan masalah kepada pengusaha industri kecil yang banyak menggunakan bahan pemanis itu seperti pengusaha kuih muih.

Beliau yang mengeluarkan produk kek, biskut dan tat, berkata jika harga gula dinaikkan, pengusaha kuih muih juga terpaksa menaikkan harga produk yang kemudian berisiko menjejaskan perolehan mereka jika pelanggan menjauhkan diri kerana harga mahal.

“Bagi pengusaha luar bandar, kebanyakan pelanggan adalah penduduk kampung dan pekan kecil yang mungkin berasa harga dinaikkan itu tidak mampu dibeli mereka,” katanya yang memerlukan kira-kira 50 kilogram gula seminggu untuk menghasilkan produk keluarannya.

Pesara guru, Jamal Sudin, 67, dari Panchor, berkata pengumuman mengenai kemungkinan harga gula dinaikkan menyebabkan ada peruncit mendakwa stok gula di kedai masing-masing hanya berbaki kuantiti kecil.

“Jika harga gula dinaikkan, peniaga juga akan menaikkan harga makanan berasaskan gula sedangkan rakyat kini sudah pun berhadapan dengan kenaikan harga barangan keperluan lain seperti ikan dan sayur-sayuran,” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN, 3 FEBRUARI 2009

Tiada ulasan: