PENGUNJUNG SETIA

02 Februari 2009

KANAK-KANAK MAUT, LIMA AHLI KELUARGA PARAH


REMUK... Kereta yang dipandu Edi Azly ini melanggar tiang papan tanda di Kilometer 286.3 Lebuh Raya Utara-Selatan, menyebabkan anaknya, Firdaus maut manakala lima lagi anggota keluarganya cedera parah, semalam.

NILAI 1 Feb. - Keriangan sebuah keluarga mengikuti perkelahan di Port Dickson hari ini berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka maut dalam kemalangan ngeri di Kilometer 286.3, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, dekat sini hari ini.

Kemalangan pukul 3.45 petang itu berlaku berhampiran susur masuk ke Bukit Mahkota lebuh raya itu, membabitkan kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza yang dinaiki enam sekeluarga tersebut.

Mangsa yang meninggal dunia ialah Firdaus Edi Azly, 9, tersepit dalam kenderaan itu yang remuk teruk selepas merempuh tiang lampu dan papan tanda susur keluar di kiri laluan berkenaan.

Lima lagi ahli keluarga iaitu bapanya, Edi Azly Abu, 42; ibunya, Fauziah Abu, 37, serta tiga lagi anak mereka iaitu Amirah, 10; Sabrina, 11 dan Haziq, 5, cedera parah dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini.

Pegawai Turus Trafik Negeri, Asisten Supritendan Abdul Halil Hamzah berkata, kereta yang dipandu Edi Azly dipercayai terbabas dan merempuh tiang lampu di kiri lebuh raya tersebut.

Ia kemudiannya terbalik sebelum melanggar papan tanda susur keluar Bukit Mahkota.

Berikutan rempuhan itu, katanya, kenderaan tersebut remuk teruk selain menghempap kesemua mangsa.

"Polis percaya keluarga ini dalam perjalanan pulang selepas berkelah di Port Dickson untuk balik ke rumah mereka di Semenyih, Selangor.

"Mangsa yang meninggal dunia cedera parah di bahagian kepala dan muka," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di HTJ lewat petang ini mendapati, kesemua lima mangsa dipindahkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu.

Difahamkan, keluarga mangsa telah dihubungi oleh pihak polis sementara mayat Allahyarham Firdaus telah dibawa ke bilik mayat hospital itu untuk bedah siasat.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 2 FEBRUARI 2009

Tiada ulasan: