PENGUNJUNG SETIA

02 Februari 2009

PANGGIL IBU SEBELUM AJAL

Oleh Mohd Nur Asnawi Daud
asnawi@hmetro.com.my


NILAI: “Saya dengar dia memanggil ‘mak’ beberapa kali sebelum suaranya terhenti,” kata saksi kemalangan ngeri yang menyebabkan seorang mati dan lima parah di Kilometer 286.4 Lebuhraya Utara-Selatan menghala Kuala Lumpur, berhampiran Hentian Rehat Nilai di sini, semalam.

Pekerja trak penunda, M Sivarajo, berkata suara itu daripada seorang penumpang belakang, dipercayai Firdaus Edi Azly, 9, yang tersepit dalam kenderaan remuk teruk itu.

“Ketika sampai di tempat kejadian, saya nampak semua mangsa tersepit pada tempat duduk masing-masing dan kebanyakan mereka dipercayai parah.

“Keadaan amat ngeri apabila kenderaan terbabit remuk dan ‘melekat’ pada tiang papan tanda jalan,” katanya ketika ditemui Harian Metro di tempat kejadian, semalam.

Kejadian jam 3.25 petang itu dipercayai berlaku selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Avanza dinaiki enam sekeluarga itu terbabas lalu melanggar tiang lampu dan papan tanda jalan.

Berikutan itu, Firdaus Edi Azly mati di tempat kejadian akibat cedera parah.

Bapanya yang memandu kenderaan berkenaan, Edi Azly Abu, 42, ibu, Fauzi @ Fauziah Abu, 37, adik beradiknya, Amirah, 10, Sabrina, 11, dan Haziq, 5, cedera parah.

Difahamkan, keluarga berkenaan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Semenyih selepas berkelah di pantai Port Dickson.

Sementara itu, sepasukan pegawai serta anggota Bomba dan Penyelamat Seremban 2 yang membuka pusat operasi di hentian berkenaan sempena Ops Sikap ke-19 terkejut selepas terdengar dentuman kuat sebaik kejadian berlaku.

Mereka bergegas ke lokasi di seberang jalan untuk melakukan usaha menyelamatkan mangsa yang cedera dan tersepit.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Abd Rahim Abd Karim, berkata pihaknya terus melakukan operasi menyelamat sebaik melihat mangsa tersepit.

“Bomba mengambil masa 45 minit untuk mengeluarkan semua penumpang yang tersepit di tempat duduk. Seorang daripada penumpang di belakang mati dalam kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, beberapa ambulans ke lokasi kejadian untuk membawa mangsa yang cedera ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Kejadian itu turut menyebabkan kesesakan lalu lintas sejauh beberapa kilometer apabila orang ramai memperlahankan kenderaan untuk melihat kemalangan itu.

Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) Seremban untuk mendapatkan rawatan. Jenazah mangsa turut dihantar ke bilik mayat hospital sama.

SUMBER: HARIAN METRO, 2 FEBRUARI 2009

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Malang tidak berbau. Ambil iktibar. Memandu ikut iman bukan nafsu. Ingatlah orang yang tersayang.
View Profile: Rantong