TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

22 Februari 2009

SENGAJA TEMPAH PADAH

Oleh ZALIFAH MOHD YATIM
zalifah@hmetro.com.my

PERIKSA...Harun melihat sembilan motosikal curi yang ditemui semula sepanjang operasi yang diadakan Januari hingga awal Februari ini.

TANGKAK: Seorang pemuda yang sanggup bermotosikal dari Negeri Sembilan ke daerah ini bagi membantu abangnya melarikan diri daripada buruan polis menempah padah apabila dia turut ditahan kerana tersenarai sebagai orang yang dikehendaki polis.

Penangkapannya berhampiran persimpangan Jalan Paya Mas di sini, petang kelmarin, membongkar rekod jenayah pemuda berkenaan diburu polis kerana kes curi di Selangor.

Dua beradik berusia 27 dan 25 tahun itu ditahan kira-kira jam 6 petang kelmarin, selepas melarikan diri sejauh kira-kira 25 kilometer daripada sekatan jalan raya yang diadakan di Jalan Bekok menghala ke Segamat.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, berkata lelaki berusia 25 tahun dipercayai dari Negeri Sembilan itu menunggang motosikal keluarga bagi menyelamatkan abangnya yang bersembunyi selepas diburu pihak berkuasa.

Menurutnya, penahanan kedua-dua lelaki itu membongkar kegiatan jenayah dilakukan mereka, di mana si abang adalah penagih dadah yang dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah di Kuala Pilah, Negeri Sembilan selain empat kes dadah dan curi motosikal.

Terdahulu, lelaki berusia 27 tahun itu melarikan diri ke kebun kelapa sawit dan diburu sepasukan anggota dan pegawai yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Asisten Superintendan Azmi Ali dengan dibantu Unit Anjing Pengesan (K9) dari Segamat.

Harun berkata, lelaki itu diburu kerana disyaki mencuri kereta Proton Persona di Melaka pada 17 Februari lalu, sebelum ditemui terbabas di Jalan Bekok, dekat sini, kira-kira jam 11.30 pagi.

Menurutnya, pemandu kereta yang dipercayai pencuri kenderaan berkenaan melarikan diri ke kebun kelapa sawit berhampiran apabila kenderaan dipandunya terbabas selepas dikejar pemilik kenderaan yang tinggal di daerah ini.

“Penjenayah terbabit melarikan diri ke kebun berhampiran dan operasi dilancarkan sebelum mengadakan sekatan jalan raya berhampiran lokasi kejadian, kira-kira jam 5 petang.

“Ketika sekatan jalan raya, sebuah motosikal dinaiki dua lelaki kelihatan mencurigakan apabila berpatah balik menghala ke Tangkak bagi mengelak pemeriksaan.

“Unit peronda mengejar motosikal itu sebelum berjaya menahan kedua-dua lelaki berkenaan berhampiran persimpangan Jalan Paya Mas,” katanya dalam sidang akhbar di sini, semalam.

Sementara itu, Harun berkata, sejumlah sembilan motosikal yang dicuri dikesan semula dan lima lelaki berusia antara 18 hingga 25 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes motosikal curi yang dilaporkan di Bukit Gambir, Muar dan Tangkak sejak awal tahun ini.

Katanya, empat daripada lelaki yang ditahan dituduh di mahkamah, manakala seorang masih lagi direman.

SUMBER: METRO AHAD, 22 FEBRUARI 2009

Tiada ulasan: