PENGUNJUNG SETIA

02 Februari 2009

BUDAK LELAKI MAUT MPV REMPUH TIANG LAMPU

KEADAAN MPV yang remuk dalam nahas di Kilometer 286.4 Lebuh Raya Utara-Selatan.

NILAI: Seorang budak lelaki terbunuh apabila kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dinaiki bersama keluarganya terbabas dan merempuh tiang lampu serta papan tanda di Kilometer 286.4 Lebuh Raya Utara-Selatan, berdekatan Hentian Rehat Nilai, dekat sini, petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.25 petang itu, Firdaus Edi Azly, 9, meninggal dunia serta-merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di anggota badan berikutan tersepit di bahagian bumbung kenderaan.

Ibu bapa mangsa, Edi Azly Abu, 42, dan Fauzi @ Fauziah Abu, 37, serta tiga lagi adik-beradiknya, Amirah, 10; Sabrina, 11; dan Haziq, 5, cedera parah dalam kejadian yang menyebabkan Toyota Avanza yang dinaiki mereka itu remuk teruk.

Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abdul Halil Hamzah, berkata kemalangan itu dipercayai berlaku akibat pemandu terbabit hilang kawalan, namun, polis masih menyiasat punca sebenar kejadian.

"Semua mangsa yang terselamat dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban (HTJS)," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Abdul Rahim Abdul Karim, berkata pihaknya yang bertugas di kawasan rehat itu sempena Ops Sikap 19 terkejut apabila tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat.

"Kami melihat sebuah MPV terbabas dan melekat di bahagian tiang besi papan tanda sebelum bergegas memberi bantuan. Kami dapati seorang kanak-kanak sudah meninggal dunia kerana tersepit di bumbung kereta.

"Lima lagi mangsa yang terselamat tetapi tersepit dipercayai keluarga mangsa berjaya dikeluarkan dalam tempoh 10 minit. Mereka kemudian dikejarkan ke HTJS," katanya.

p/s: Keluarga Edi Azly Abu berasal dari Kampung Parit Haji Idris, Bukit Gambir, Ledang. Jenazah anak beliau yang meninggal dunia dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kundur, Bukit Gambir tengah hari ini. Al-fatihah. -iNFOLEDANG

SUMBER: BERITA HARIAN, 2 FEBRUARI 2009

Tiada ulasan: