zalifah@hmetro.com.my
TANGKAK: “Selepas Ahad ini (kelmarin), kita tidak ada apa-apa lagi,” begitu kata-kata seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kepada teman wanitanya yang akhirnya menjadi kenyataan apabila mangsa meninggal dunia selepas terbabit kemalangan di Batu 29, Jalan Muar -Segamat, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang itu, mangsa, Wan Mohd Annazul Hady Wan Ja’afar Sidi, 23, putus lengan kanan dan pecah perut selepas motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori.
Mangsa, anak kedua daripada empat beradik itu dikatakan dalam perjalanan dari kampungnya di Batu 3 1/4, Jalan Bakri di sini, menuju ke tempatnya bertugas di Pangkalan TUDM, Kuantan, Pahang.
Teman wanitanya, Ella Sakila Abu Bakar, 20, berkata arwah teman lelakinya ada menyebut hubungan mereka putus selepas Ahad ini ketika mereka berselisih faham dan mangsa merajuk, Sabtu lalu.
Katanya, dia masih tidak percaya dan terkejut dengan kejadian itu kerana arwah ada datang berjumpa dan singgah di rumah keluarganya di Jalan Junid di sini, selama sejam sebelum bertolak balik ke Pahang.
“Saya tidak sangka kerana sebelum itu, dia ada mengajak saya ke Pahang, malah sempat membawa buah tangan beberapa biji mangga yang masih lagi elok dalam bungkusan plastik,” katanya yang mengenali arwah lebih dua tahun lalu.
Menurutnya, arwah juga kelihatan lebih ceria dan sering bergurau berbanding biasa apabila lebih banyak berdiam diri jika bertemu.
Sementara itu, ibu mangsa dikenali Fauziah berkata, anaknya balik bercuti selepas menghadiri kursus di Puchong, Selangor dan sepatutnya mula bertugas semula di Kuantan, semalam.
“Angah langsung tidak menunjukkan perubahan, cuma kali ini ketika balik bercuti, dia lebih banyak mendiamkan diri.
“Baru dua jam dia keluar rumah dalam keadaan elok, tiba-tiba dapat maklumat arwah terbabit kemalangan,” katanya.
Wanita itu yang mulanya tabah dengan tragedi itu akhirnya rebah dan pengsan selepas melihat mayat mangsa di Hospital Tangkak, kira-kira jam 8.30 malam kelmarin.
Sementara itu, jurucakap polis berkata, mangsa dalam perjalanan menghala ke Segamat apabila termasuk ke laluan kanan di satu selekoh sebelum bertembung dengan lori dari arah bertentangan.
Katanya, motosikal mangsa bergesel dengan cermin sisi di bahagian pemandu lori berkenaan sebelum terjatuh dan terseret menyebabkan lengan kanannya terputus dan perutnya pecah, kira-kira jam 6.30 petang kelmarin.
Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tangkak untuk dibedah siasat sebelum jenazahnya dituntut waris, kira-kira 2 petang semalam.
SUMBER: HARIAN METRO, 3 FEBRUARI 2009
2 ulasan:
manggsa ni kwn aku...terkejut aku mendengar berita neh....xsangka lak jd mcm nie....tp selama aku berkwn dgn manggsa...die memang bawak moto laju...cuma aku terkejut kenapa die pergi dgn cara begini...semoga allah mencucuri rahmat nya...amin....
Assalammualaikum...
Utamanya nak ucapkan terima kasih kepada bloger kerana meletakkan keratan ini didalam blog anda.
Saya adalah salah seorg rakan beliau, mengenali beliau semasa bersekolah di Sek.Men.Teknik Muar (PKE 02/03). Saya dan rakan2 amat terkejut dan sedih dgn berita ini kerana beliau adalah seorang rakan yang baik & mesra. Tapi malangnya & sedihnya, kami dapat mengetahui berita kematian beliau selang seminggu selepas kejadian.
Moga rohnya dicucuri rahmad Ilahi hendaknya.
Al-Fatihah
Catat Ulasan