TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

08 Februari 2009

DUA MAUT

Laporan dan foto JUNITA MAT RASID
am@hmetro.com.my
SIASAT... polis memeriksa tempat kejadian yang meragut
dua nyawa dalam kemalangan di Tangkak, kelmarin.

TANGKAK: Dua penunggang motosikal, termasuk seorang warga Indonesia, maut manakala seorang lagi parah apabila dua motosikal bertembung di satu laluan gelap di persimpangan Parit Kassim, Batu 17, Jalan Bukit Gambir-Sengkang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam, Nasir Talib, 28, berasal dari Kampung Bukit Keledang, Jementah dan seorang warga Indonesia dikenali sebagai Budi Setiawan, berusia 30-an, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Manakala pembonceng motosikal yang juga warga Indonesia cedera parah dan dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Jurucakap polis berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal dinaiki Nasir yang dalam perjalanan dari Bukit Gambir menghala ke Sengkang bertembung dengan motosikal dinaiki dua warga Indonesia yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat pertembungan itu, kedua-dua motosikal remuk teruk dan semua penunggangnya terpelanting, menyebabkan dua daripada mereka meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi cedera parah,” katanya.

Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali berkata, beliau ada beberapa meter dari tempat kejadian apabila mendengar bunyi dentuman kuat.

Katanya, keadaan lokasi kemalangan yang gelap mungkin antara faktor kemalangan berlaku, selain motosikal ditunggang dengan laju.

“Sebelum kemalangan berlaku, saya melihat sebuah motosikal dari arah Bukit Gambir cuba memotong sebuah kenderaan sebelum sebuah motosikal dinaiki dua lelaki cuba membelok ke simpang Parit Kassim, menyebabkan berlaku pertembungan,” katanya.

Katanya, orang ramai kemudian menghubungi anggota paramedik dari Klinik Kesihatan Bukit Gambir, namun kedua-dua lelaki itu disahkan meninggal dunia, manakala mangsa yang cedera parah dihantar ke hospital.

SUMBER: METRO AHAD, 8 FEBRUARI 2009

Tiada ulasan: