PENGUNJUNG SETIA

02 Februari 2009

BEKAS PEMAIN MAMPU BERI SUMBANGAN

MUAR - Idea daripada bekas pemain kebangsaan perlu ditimba bagi memartabatkan kembali sukan bola sepak tanah air memandangkan pengalaman dan pengetahuan luas yang dimiliki mereka.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, input daripada wira-wira sukan negara itu amat berharga kerana mereka lebih mendalami sukan ini.

"Semua rakyat Malaysia sayang dengan sukan bola sepak dan ia dianggap moral kepada negara.

"Kalau kita sebagai penonton berasa sedih dengan kemerosotan ini, mereka sebagai bekas pemain lebih merasainya kerana ia dekat pada hati mereka," katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pecah tanah projek pembinaan Gelanggang Sukan Rakyat di Taman Pelangi, Tangkak di sini semalam.

Menurut Ismail, bagi mencari jalan mengeluarkan sukan bola sepak dari kemelut kemerosotan, beliau akan mengadakan perbincangan hari ini di ibu negara dengan beberapa bekas pemain negara.

Katanya, pemain-pemain terbabit pernah mewakili negara dan negeri di waktu kegemilangan dan beliau harap dapat bertukar-tukar fikiran bagi tujuan kebaikan sukan ini.

"Waktu saya berjumpa dengan bekas pemain hoki negara, mereka nyata serius dan dapat memberi satu pelan rancangan yang begitu menyeluruh kerana cinta kepada sukan," katanya.

Jelas beliau, bekas-bekas pemain negara mempunyai pengalaman mereka tersendiri namun berkemungkinan sebelum ini tidak berpeluang untuk mengutarakan pendapat mereka.

"Sebenarnya, kita juga mesti menghormati sumbangan bekas-bekas atlet ini, untuk itu, saya telah menubuhkan Yayasan Kebajikan Atlet di samping menggalakkan penubuhan pertubuhan bekas atlet bagi setiap jenis sukan," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 2 FEBRUARI 2009

1 ulasan:

لينا محمد يوسف berkata...

saya salah sorang warga Ledang...
majulah Ledang utk negara...
huhu...