PENGUNJUNG SETIA

24 Februari 2009

JKKK FELDA PASAK ANJUR LAWATAN KE LEDANG

Sebahagian AJK JKKK Felda Pasak bergambar di Kompleks Mohd Janis Sdn Bhd bersama Pengarah Urusan MJSB, Haji Mohd Janis Abu Bakar (4 dari kanan) dan Pengerusi JKKK Felda Pasak, Haji Mohd Dom Harun (5 dari kanan).

Pengerusi JKKK Felda Pasak, Haji Mohd Dom Harun (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Pengarah Urusan Mohd Janis Sdn Bhd, Haji Mohd Janis Abu Bakar sambil diperhatikan Setiausaha JKKK Felda Pasak, Noh Haji Sitam (tengah). Foto: AdiSabariman

LEDANG: Seramai 55 orang peserta telah mengikuti lawatan sambil belajar ke daerah ini yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Felda Pasak, Kota Tinggi, Sabtu lalu.

Pengerusinya, Haji Mohd Dom Harun berkata, tujuan program ini untuk memberikan pendedahan kepada Ahli Jawatankuasanya serta para pemimpin belia dan wanita yang terdapat di kampungnya melihat bagaimana sesebuah kampung yang dilawati memajukannya.

"Melalui program seumpama ini, minda mereka lebih terbuka untuk mempelajari cara pengurusan sesebuah kampung bagi diaplikasikan di kampung sendiri," katanya kepada iNFOLEDANG ketika ditemui semasa mengadakan lawatan ke premis Mohd Janis Sdn. Bhd. di Kampung Parit Kassan.

Sementara itu, Setiausahanya, Noh Haji Sitam berkata, antara destinasi yang dilawati ialah Kampung Parit Bugis, Muar yang mengadakan program Homestay, bengkel pembuatan bahulu tradisional dan kraftangan serta persembahan zapin.

Menurutnya lagi, destinasi kedua ialah melawat perusahaan Mohd Janis Sdn Bhd di Kampung Parit Kassan, Bukit Gambir yang baru-baru ini telah memenangi Anugerah Industri Sawit 2007 anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Kota Kinabalu, Sabah bagi kategori peniaga buah sawit.

"Selain diberi penerangan mengenai aktiviti syarikat itu, kami juga dibawa ke tapak semaian benih sawit dan pusat ternakan lembu yang diusahakan oleh Pengarah Urusan syarikat itu, Haji Mohd Janis Abu Bakar," katanya lagi.

Tambah Noh lagi, destinasi ketiga ialah melawat Masjid Jamek Dato Abd Ghani Othman di Sagil Parit 2 bagi melihat keindahan seni bina kubah masjid kampung itu kerana rekabentuk itu akan digunakan untuk membina masjid di kampungnya.

Beliau seterusnya mengucapkan terima kasih kepada mereka yang terlibat sepanjang lawatan tersebut.

Tiada ulasan: