MUAR, 8 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri sedang menyiapkan kertas cadangan untuk membantu sektor industri pembuatan, menggalakkan kemasukan pelaburan luar dan perdagangan yang terjejas ekoran masalah ekonomi global.
Menteri berkenaan Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kertas cadangan itu akan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan dalam tempoh terdekat, dan jika dipersetujui, ia akan dimasukkan dalam pakej rangsangan ekonomi kedua yang akan diumumkan tidak lama lagi.
Katanya kertas cadangan yang dirangka itu berasaskan pandangan-pandangan yang dikumpul selepas dialog bersama Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM), dewan-dewan perniagaan, persatuan perniagaan dan badan bukan kerajaan (NGO) sejak tahun lalu.
"Sektor pembuatan misalnya menghadapi masalah permintaan dan dijangka menjadi lebih teruk lagi jika tidak mendapat sokongan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Jalinan Erat UKM-Masyarakat Kundang Ulu di sini hari ini.
Mengenai sektor pelaburan, MITI mencadangkan agar diadakan langkah-langkah tambahan yang difikirkan perlu selain daripada insentif sedia ada untuk menarik pelabur asing datang melabur ke negara ini.
Katanya walaupun Bank Dunia mengunjurkan bahawa pelaburan asing akan menguncup lebih kecil pada tahun ini berbanding tahun sebelumnya, terdapat syarikat-syarikat asing yang berminat memindahkan perusahaan ke negara ini atas faktor kenaikan kos di negara mereka.
"Kalau kita boleh beri pakej tambahan, saya rasa sedikit sebanyak kita boleh mempertahankan pelaburan masuk ke negara ini," katanya dan mengakui pencapaian pelaburan tahun ini sukar untuk diramal.
SUMBER:-- BERNAMA, 8 FEBRUARI 2009
Collaboration request
7 bulan yang lalu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan