PENGUNJUNG SETIA

12 Februari 2009

UKM TERUSKAN KHIDMAT MASYARAKAT DI KUNDANG ULU

TANGKAK: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjalankan penyelidikan berteraskan khidmat masyarakat di Kampung Kundang Ulu, dekat sini, selama tiga tahun mulai tahun lalu membabitkan peruntukan kira-kira RM400,000.

Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahahabudin, berkata Kampung Kundang Ulu dipilih sebagai kampung angkat universiti itu dan kira-kira 1,500 tenaga kerja serta penuntut pernah berkampung di situ membantu mangsa banjir besar, dua tahun lalu.

Katanya, susulan program itu, tiga kumpulan penyelidik iaitu daripada Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat serta Fakulti Pendidikan terbabit dalam penyelidikan berteraskan khidmat masyarakat, yang bermula Oktober tahun lalu.

"Perkenalan ketika banjir besar itu membuka ruang kepada universiti untuk menjadikan kawasan itu sebagai kampung angkat supaya bantuan yang diberikan tidak terhenti hanya ketika kecemasan sebaliknya berpanjangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Jalinan Erat UKM-Masyarakat Kundang Ulu, yang dirasmikan Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Temenggong Ahmad, di sini, kelmarin.

Beliau berkata, selepas beberapa siri pertemuan dan perbincangan, penyelidikan akan difokuskan terhadap tiga perkara iaitu kesihatan, teknologi maklumat dan komunikasi serta pendidikan masyarakat di kampung angkat itu.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, walaupun kerajaan sudah menyediakan banyak infrastruktur di kawasan itu, pihaknya tetap menyambut baik penyelidikan yang dijalankan di kampung berkenaan.

Katanya, penyelidikan yang dijalankan di kampung itu akan mengenal pasti kekurangan yang ada supaya usaha menambah baik dapat dilaksanakan pada masa depan.

SUMBER: BERITA HARIAN, 12 FEBRUARI 2009

Tiada ulasan: