PENGUNJUNG SETIA

27 Februari 2009

TULISAN DAN BAHASA MENUNJUKKAN BANGSA

DI mana letaknya tulisan orang Melayu? Tulisan jawi. Tulisan orang Melayu inilah yang menjadi identiti bangsa Melayu.

Kita boleh lihat tulisan kaum Cina, India, Thailand, Jepun, Korea dan lain-lain di televisyen. Sedihnya di mana tulisan jawi, tulisan orang Melayu? Mengapa tulisan ini dipinggirkan? Pemimpin atasan semuanya orang Melayu, apakah pemimpin-pemimpin ini tidak sayangkan identiti bangsanya?

Dahlah Bahasa Melayu jadi Bahasa Malaysia hilang Melayunya, sesetengah drama-drama TV menggunakan bahasa Malaysia rojak.

Anak-anak orang Cina jiran saya setiap hari berlanggan akhbar tulisan Cina. Mereka megah, bangga dengan tulisan bangsanya. Apa sudah jadi dengan bangsa saya (Melayu) akhbar tulisan jawinya terselit seminggu sekali sahaja di dalam akhbar tulisan rumi.

Saya pasti akhbar berbahasa Melayu akan terkubur 20 tahun lagi dari tarikh saya menulis ini. Seperti terkuburnya akhbar tulisan jawi. Lebih kurang 20 tahun kemudian setelah orang Melayu sendiri menghina akhbar tersebut.

Saya teringat pada tahun awal 70-an dulu ketika saya mengepit Utusan Melayu masuk ke bilik guru di sebuah sekolah di Felda, seorang kawan sebangsa dan seagama dengan saya menyatakan Utusan Melayu ialah akhbar orang sekolah atap.

Jelas, lebih kurang 20 tahun kemudian akhbar Utusan Melayu terkubur.

Orang Melayu jangan berasa sedih jika 20 tahun akan datang surat khabar berbahasa Melayu tulisan rumi pula akan juga terkubur. Sekarang ini kita lihat orang Melayu sudah mula seperti malu hendak bertutur dalam bahasa ibundanya. Kita boleh lihat temuramah-temuramah di TV dan drama-drama TV bahasa Inggeris seperti diutamakan.

Pemimpin-pemimpin ini hendaklah sedar bahawa mereka naik kerana undi rakyat khususnya undi orang Melayu. Agama yang dianuti orang Melayu jangan diperlekehkan. Bahasa Melayu hendaklah terus diguna pakai dalam pembelajaran semua perkara di sekolah.

Untuk meningkatkan penguasaan dalam Bahasa Inggeris, apa salahnya pembelajarannya ditambah selama satu jam seminggu. Saya tidak nampak guru-guru atau tenaga pengajar akan memberontak. Selamanya saya lihat guru-guru sentiasa taat arahan dan perintah.

Tulisan jawi saya sarankan diwajibkan diajar di peringkat sekolah rendah lagi selama 45 minit seminggu diselitkan dalam pelajaran agama Islam. Tulisan jawi ini adalah identiti bangsa Melayu. Insya-Allah Utusan Melayu akan kembali segar.

Saya menyeru kepada kepimpinan Melayu agar terus mengagungkan Bahasa Melayu, tulisan Melayu (jawi) dan budaya Melayu.

Kembalikan hak Bahasa Melayu dalam pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains. Gunakan seterusnya istilah-istilah matematik dan sains yang beribu-ribu yang dicipta oleh DBP.

Pemimpin-pemimpin Melayu sibuk dengan katanya "ketuanan Melayu" terhakis selepas pilihan raya yang lalu. Tetapi pemimpin Melayu tidak sedar ketuanan bahasa Melayu, tulisan Melayu (jawi) terhakis kini dan selamanya. Siapa yang menghakis?

Orang Melayu sekalian, sayangilah bahasa anda dan tulisan bangsa anda (tulisan jawi) yang menjadi identiti bangsa anda. Hilang bahasa, Melayu akan lenyap di Malaysia dan seterusnya di muka bumi ini.

'Tulisan dan bahasa menunjukkan bangsa.'

MD. ESA KARDI
Persara Guru Muar, Johor

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 27 FEBRUARI 2009

Tiada ulasan: