PENGUNJUNG SETIA

23 Disember 2009

150 MURID LAWAT SAMBIL BELAJAR KE KL

Pelajar Sekolah Agama Parit Kassan, Ledang bergambar ramai selepas membuat lawatan di Muzium Kesenian Islam Malaysia.

Para pelajar diberi penerangan mengenai peralatan sains dalam lawatan di Pusat Sains Negara.
HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

LEDANG: Seramai 150 orang murid Darjah Lima dan Enam dari tiga buah sekolah agama di daerah ini telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur sempena cuti persekolahan.

Program sehari itu disertai murid-murid dan guru dari Sekolah Agama (SA) Parit Kassan, SA Felda Sri Ledang dan SA Kesang Laut.

Guru Besar SA Parit Kassan, Azahari Hosnan, berkata tujuan program itu adalah untuk memberi peluang kepada para peserta melawat beberapa tempat menarik di sekitar ibu kota sambil menimba ilmu pengetahuan.

Katanya, antara tempat yang dilawati ialah Pusat Sains Negara, Muzium Negara dan Muzium Kesenian Islam Malaysia yang dapat memberikan pendedahan dan pengetahuan kepada para peserta melalui bahan-bahan yang dipamerkan.

“Di Pusat Sains Negara, mereka dapat mempelajari banyak perkara yang berkaitan dengan bidang sains dan teknologi serta berpeluang menguji sendiri bahan-bahan yang dipamerkan.

“Dalam lawatan ke Muzium Negara pula, mereka dapat melihat pelbagai artifak dan sejarah dari zaman pra-sejarah hinggalah ke zaman moden yang dipamerkan di beberapa galeri,” katanya.

Turut menyertai lawatan itu Guru Besar SA Felda Sri Ledang, Rosni Rasiman; Guru Besar SA Kesang Laut, Ishak Nor; Naib Pengerusi Badan Kebajikan SA Parit Kassan, Mohd Janis Abu Bakar serta guru-guru sekolah tersebut.

Azahari berkata, di Muzium Kesenian Islam Malaysia pula, para pelajar telah dibawa melawat himpunan koleksi yang mewakili keseluruhan dunia Islam dari negara Timur Tengah, China, India dan Asia Tenggara.

Katanya, para pelajar dapat menyaksikan sendiri artifak-artifak tamadun Islam yang dipamerkan di galeri yang disediakan seperti koleksi seni bina, Al-Quran, senjata, perisai, mata wang, tekstil dan seramik.

Tambahnya, melalui lawatan tersebut para pelajar bukan hanya berseronok saja tetapi dapat menimba ilmu pengetahuan kerana sebelum ini mereka belum pernah melihat artifak dan koleksi barangan yang dipamerkan di tempat yang mereka lawati.

Menurutnya, ilmu pengetahuan yang diperolehi dapat membantu mereka dalam pembelajaran sama ada di bidang akademik mahupun agama.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 23 DISEMBER 2009

Tiada ulasan: