PENGUNJUNG SETIA

04 Disember 2009

JOHOR PERUNTUK RM1.25J HAYATI KONSEP 1MALAYSIA

Laporan Umi Nadirah Abdul Rahman
uminadirah@bharian.com.my

KOTA ISKANDAR: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.25 juta bagi melaksanakan program kemasyarakatan dan ceramah dalam menyebarluaskan kefahaman dan penghayatan konsep 1Malaysia ke peringkat akar umbi dan seluruh lapisan masyarakat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Belia dan Sukan negeri, Jais Sarday, berkata daripada jumlah itu RM500,000 diperuntukkan kepada Jabatan Penerangan Negeri Johor, manakala RM750,000 lagi adalah kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

Katanya, peruntukan terbabit adalah sebagai fokus utama dalam menyemarakkan Gagasan 1Malaysia bertujuan memastikan rakyat di segenap lapisan masyarakat memahami maksud dan tuntutan sebenar yang terkandung dalam gagasan berkenaan.


"Kerajaan negeri sangat peka dalam mencapai maksud dan matlamat gagasan 1Malaysia ini di mana ia dilihat dapat membentuk perpaduan nasional yang sememangnya menjadi teras utama dalam hal tuju negara sejak kemerdekaan dicapai.

"Malah dalam Pelan Tindakan Kerajaan Negeri juga turut mengadakan pelbagai program dalam menyemarakkan konsep gagasan 1Malaysia ini sekali gus kefahaman yang ada dapat diterjemah dan dihayati semua pihak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan secara bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jorak-BN, Dr Shahruddin Salleh berkaitan rancangan kerajaan negeri dalam menyebarkan penghayatan 1Malaysia di persidangan Dewan Negeri Johor ke-12 di sini, semalam.

Jais berkata, antara program yang dilaksanakan termasuk Konvensyen Komuniti Bestari, Semarak Merdeka Jalur Gemilang peringkat negeri, Perhimpunan Sehati Sejiwa, Pewaris Muda Negara, Mesra Integrasi Komuniti dan bengkel Kepimpinan Komuniti Bestari.

Beliau berkata, di peringkat belia dan sukan pula Jabatan Penerangan sebagai agensi di bawah Jawatankuasa Penyelaras Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menetapkan gagasan terbabit sebagai fokus utama dalam program dan aktiviti dijalankan.

"Malah kerajaan negeri juga memainkan peranan dalam aktiviti sambutan Perhimpunan Hari Kebangsaan di peringkat negeri, daerah dan mukim selain pembabitan bersama semua pihak termasuk meraikan hari perayaan secara.

"Justeru, kita berharap melalui pembabitan semua pihak di negeri ini akan dapat menyemarakkan secara bersepadu selain memperkukuhkan lagi perpaduan rakyat di negeri ini," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 4 DISEMBER 2009

Tiada ulasan: