PENGUNJUNG SETIA

13 Disember 2009

RUMAH PENGANTIN DISERANG LEBAH

TANGKAK: Majlis perkahwinan sebuah keluarga kecoh apabila sekumpulan lebah hutan menyerang 20 keluarga dan penduduk kampung yang bersiap-siap menyambut tetamu, dalam kejadian di Kampung Melepang, dekat Sagil, semalam.

Malah, sekurang-kurangnya enam saudara pengantin perempuan itu, termasuk budak lelaki tiga tahun, cedera disengat dalam kejadian jam 9 pagi itu yang berlaku di luar rumah berhampiran khemah kenduri ketika saudara mara pengantin dan penduduk kampung sedang sibuk membuat persiapan terakhir majlis perkahwinan.

'Serangan' lebah itu yang dikatakan secara tiba-tiba menyebabkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri tetapi jumlah kumpulan lebah yang banyak menyebabkan sebahagian besar mereka terkena sengatan lebah.

Bagaimanapun pengantin perempuan, Saniah Abu Bakar, 26, tidak cedera kerana berada di dalam bilik bersiap bagi majlis persandingannya yang dijadualkan tengah hari.

Enam saudara mara pengantin itu termasuk dua adik perempuannya yang dikenali sebagai Noraini, 18, dan Zarina, 23, dihantar ke Hospital Tangkak untuk rawatan lanjut akibat teruk disengat lebah. Budak lelaki tiga tahun, Mohamad Sharul Aiman Azman dan budak perempuan berusia lapan tahun, Nor Hidayah Norin, turut cedera.

Saniah berkata, beliau pernah ternampak sekumpulan kecil lebah berhampiran tiang lampu di luar rumahnya, dua hari lalu menyebabkan ahli keluarganya menyembur ubat serangga sehingga mati.

“Saya tidak menyangka dua hari selepas kejadian itu dan pada hari perkahwinan saya, sekumpulan lebah yang lebih banyak datang menyengat orang yang sedang menyiapkan kenduri,” katanya.

Saniah berkata, majlis akad nikah dengan pasangannya dijalankan pada kelmarin yang disusuli majlis perkahwinan semalam yang tetap diteruskan walaupun berlaku 'serangan' lebah.

Sementara itu bapa pengantin perempuan Abu Bakar Omar, 71, berkata beliau berada di bawah khemah sambil berbual dengan saudaranya apabila orang ramai menjerit menyatakan lebah menyerang.

“Bagi mengelak serangan itu, saya terus berdiam diri dan tidak bergerak,” katanya yang tidak mengalami sebarang kecederaan.

SUMBER: BERITA MINGGU, 13 DISEMBER 2009

Tiada ulasan: