PENGUNJUNG SETIA

15 Disember 2009

PELANCONG SERONOK SAKSI AKTIVITI KUTIP TIRAM

MUAR 14 Dis. - Biarpun baru bermula sejak dua tahun lalu, namun pakej pelancongan meninjau aktiviti penyelam tiram di Sungai Muar mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para pelancong di seluruh negara.

Malah, keenakan hidangan tiram segar itu menarik minat orang ramai untuk melihat sendiri bagaimana hasil laut tersebut dipungut dan nyata pengalaman yang diperoleh berbeza.

Menurut seorang pengusaha agensi pelancongan, Cheah Kong Chun, respons yang diterima pihaknya bagi pakej pelancongan itu adalah di luar jangkaan dan setakat ini sebanyak tiga rombongan telah dibawa ke Pangkalan Nelayan Parit Tiram.

Beliau berkata, tarikan terbaru dalam sektor agropelancongan itu membolehkan para pelancong mengenali spesies tiram secara lebih dekat di samping mengikuti kehidupan seharian penyelam tiram.

"Hasil maklum balas mendapati ramai pelancong tempatan berminat untuk melihat keunikan menyelam tiram Sungai Muar kerana kegiatan itu tidak boleh didapati di tempat lain.

"Selain itu, para pelancong juga boleh membeli tiram segar yang baru dinaikkan dari sungai," katanya.

Sementara itu, seorang pelancong, Loh Sen Kiang, 46, memberitahu, dia bersama-sama tiga anaknya amat gembira dapat mengikuti rombongan meninjau aktiviti penyelam tiram.

"Selama ini, saya selalu menikmati hidangan tiram di restoran, namun kali ini saya nampak bagaimana tiram dipungut dari dasar sungai," katanya.

Dia mengakui sama sekali tidak pernah menyangka ada kegiatan menyelam tiram di negara ini kerana lazimnya tiram-tiram yang diperoleh adalah diimport dari luar negara.

Bagi Low Cuan Kai, 53, yang turut menyertai rombongan meninjau aktiviti menyelam tiram itu mengakui kagum dengan semangat para penyelam untuk mencari rezeki di dasar sungai berkenaan.

"Bila dapat melihat sendiri cara mereka mendapatkan tiram, saya memang betul-betul kagum kerana penyelam dapat tahan nafas lama di dasar sungai," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 15 DISEMBER 2009

Tiada ulasan: