PENGUNJUNG SETIA

11 Disember 2009

DUA PESERTA KONVOI MAUT DIREMPUH KERETA

PEKAN: Kegembiraan tujuh sahabat berkonvoi dari Muar, Johor ke Kuantan dengan menunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Yamaha Virago berakhir tragedi menyedihkan apabila dua daripada mereka maut selepas motosikal ditunggangi dirempuh kereta di Kilometer 86, Jalan Kuantan-Segamat di Ladang Simpai, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa, Roslan Paimin, 43, seorang guru di Muar dan tinggal di Bukit Gambir, maut di tempat kejadian manakala rakannya, Rosli Bunthing, 48, seorang kontraktor juga berasal dari Bukit Gambir disahkan meninggal dunia di Hospital Muadzam Shah (HMS) di sini.

Seorang lagi penunggang, Hamzah Sa’amah, 35, dari Pasir Puteh, Kelantan pula patah lengan kanan, pergelangan tangan kanan, cedera di rusuk dan masih menerima rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

Ketua Polis daerah, Superintendan Yahaya Othman, berkata siasatan awal mendapati, empat lagi rakan mangsa tidak cedera kerana sempat mengelak dirempuh kereta Proton Wira berkenaan.

Menurutnya, sebelum kejadian, pemandu kereta itu, Ramlah Endut, 31, dari Pontian, Johor dalam perjalanan menghala ke Pontian dari Kuantan cuba memotong lori.

Katanya, pemandu wanita itu yang juga seorang guru dipercayai memotong lori terbabit sebelum bertembung dengan tiga daripada tujuh motosikal berkuasa tinggi berkenaan.

Beliau berkata, akibat pertembungan itu, Roslan, Rosli dan Hamzah tercampak sebelum Roslan maut di tempat kejadian manakala Rosli disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HMS.

“Hamzah masih menerima rawatan di HTAA dan polis mengambil keterangannya sebaik pulih bagi membantu siasatan lanjut kejadian terbabit.

“Pemandu kereta itu yang cedera di muka dan lutut kiri mendapat rawatan di HMS manakala dua anaknya masing-masing berusia 14 dan 10 tahun tidak cedera,” katanya.

Menurutnya, jenazah dua sahabat terbabit dituntut ahli keluarganya sebaik selesai dibedah siasat selesai petang semalam.

Katanya, polis masih meneruskan siasatan kejadian itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SUMBER: HARIAN METRO, 11 DISEMBER 2009

2 ulasan:

NzA berkata...

terima kasih di atas info tu..Salam takziah kpd keluarga mangsa...Al-Fatihah.

Unknown berkata...

al fatihah... arwah cikgu roslan tu cikgu kelas aku kat sekolah vokay 96/97.. sedihnya...