PENGUNJUNG SETIA

18 Disember 2009

HIJRAH MINDA PUPUK BUDAYA HIDUP TELUS, ELAK RASUAH

Oleh Abdul Razak Idris

Ummah perlu teruskan perjuangan Rasulullah dengan melahirkan generasi baik sahsiah diri

PERISTIWA hijrah Nabi Muhammad SAW kira-kira 1431 tahun lampau menjadi asas kepada pembinaan tamadun Madinah dan Islam secara khusus. Masyarakat madani yang dilaung-laungkan sebagai bersifat utopia oleh pemimpin dan pemikir Islam tidak berdiri tegap dan kukuh dengan sendiri tanpa Hijrah sebagai batu asasnya.

Perjuangan Rasulullah Nabi Muhammad SAW di Makkah yang dikuasai kafir Quraisy dan penentangan puak kafir yang menolak mentah-mentah syiar Islam dihadapi Baginda dengan penuh tabah dan sabar sehingga Allah SWT memerintah berhijrah ke Madinah demi kesinambungan menegakkan akidah Islam.

Sesungguhnya umat Islam perlu insaf bahawa agama Islam yang syumul perlu dijadikan cara hidup kerana perjuangan yang penuh dugaan dan pancaroba demi menyampaikan kalamullah perlu dihargai oleh setiap khalifah di muka bumi dengan penuh tertib dan takwa.

Umat Islam di negara ini amat bertuah kerana dengan prasarana moden dan status negara kita sebagai negara Islam dan agama Islam sebagai agama rasmi, maka wajarlah kita bersyukur dengan kemudahan dianugerahkan Allah kepada kita.

Kita ada masjid indah untuk beribadat. Setiap taman mempunyai surau yang mampu memuatkan jemaah untuk beribadat tidak kira dari parti politik manapun, di depan Allah semua sama cuma ketakwaan dan amal ibadah yang membezakan kita di sisi-Nya.

Justeru, wajar kita memanjat rasa syukur kepada Ilahi kerana kepemimpinan negara sejak zaman selepas merdeka tidak mengabaikan pembangunan modal insan yang menitikberatkan pembentukan sahsiah dari segi keagamaan.

Umat Islam wajar menggunakan sepenuhnya nikmat beribadat kepada Allah dengan mengunjungi masjid dan surau serta mengimarahnya. Jangan jadikan masjid semata-mata tempat untuk 'berhijrah' daripada masalah kewangan dan perasaan tidak keruan atau dijadikan mimbar politik memecah-belah perpaduan ummah.

Sebagai seorang Muslim temujanji lima waktu solat Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak setiap hari adalah wajib. Dalam menghayati konsep hijrah itu sendiri, umat Islam dianjurkan untuk berpindah daripada satu kedudukan yang buruk dan mudarat kepada kedudukan lebih baik dan selamat.

Kepemimpinan ulil amri yang menubuhkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sesungguhnya satu proses hijrah daripada baik kepada lebih baik. Peranan SPRM dipertingkatkan dengan kuasa mendakwa diperluaskan.

Mungkin langkah ini dilihat oleh sesetengah pihak yang terkena 'getah' sebagai menganiayai mereka di dunia. Secara individu jika mereka mengaku diri mereka umat Islam mengucap dua kalimah syahadah, bersembahyang lima waktu, berpuasa pada Ramadan, menunaikan zakat dan mengerjakan haji, maka soal menghalalkan rasuah sepatutnya tidak menjadi punca bertegang urat lagi.

Penubuhan SPRM yang disokong majoriti Ahli Parlimen menandakan konsep hijrah mampu dihayati semua pihak jika kita sedar bahawa rasuah itu mudarat dan ia adalah penyakit sosial yang jika tidak diubati akan menghancurkan bukan saja negara malah agama Islam itu sendiri.

Amat bertepatan sekali usaha kerajaan di bawah konsep Islam Hadhari dan 1Malaysia dan penerapan nilai Islam dan memperkasakan institusi Islam seperti Jakim dan Jabatan Agama Islam secara berterusan dipergiatkan.

Usaha murni kerajaan wajib kita sokong dalam membanteras gejala tidak sihat ini dalam masyarakat. Ulil Amri wajib disokong jika dasar menghapuskan rasuah ini mampu menjadikan negara kita lebih aman dan makmur.

Rasuah perlu difatwakan secara rasmi oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sebagai haram dan berdosa besar. Namun tafsiran rasuah itu sendiri wajar juga digariskan bukan sekadar rasuah atau riswah wang dan ganjaran barang berharga semata-mata.

Hijrah minda yang disarankan dalam roh SPRM perlu mendapat kerjasama sekalian rakyat jelata. SPRM perlu dilihat sebagai langkah mencegah penyakit dan bukan sekadar badan yang dilantik untuk membasmi kuman rasuah dan mengubati penyakit rasuah semata-mata.

Mungkin kita perlu menyedarkan pengamal rasuah yang seronok melihat duit berkepuk dalam peti besi bahawa ada orang yang lebih berhak hidup dalam kemiskinan dan penderitaan akibat tangan yang menerima di bawah meja atau di tepi rusuk.

Maka sempena Maal Hijrah 1431, usaha kerajaan untuk menghapuskan rasuah perlu dilihat sebagai kesinambungan usaha dalam meningkatkan prasarana minda umat Islam dan rakyat negara ini amnya selain dari prasarana fizikal seperti masjid dan sekolah agama rakyat.

Perlu kita sebagai umat yang mengaku sebagai umat Nabi Muhammad SAW untuk selain dari berhijrah dari kemudaratan fizikal perlu juga berhijrah dari sifat keji dalam minda iaitu berdendam, sombong dan bongkak dengan kemewahan hidup.

Justeru, peri penting juga untuk kita turut mendidik diri berhijrah daripada penyakit sosial seperti rasuah yang jika kita tidak beriltizam untuk melakukannya sekarang kita akan terus-terusan melahirkan generasi yang bukan saja hidup tanpa keberkatan dengan hasil rasuah malahan korup akhlak dan sahsiah diri.

Hijrahkan minda kita ke arah budaya hidup penuh ketelusan, biar hidup miskin di dunia jangan muflis di akhirat kelak. Jangan dipersiakan pengorbanan junjungan besar Nabi Muhammad SAW menghidupkan roh hijrah kerana perjalanan baginda ke Madinah 1431 tahun lampau adalah demi tegaknya kalamullah. Perjalanan itu harus diteruskan dan pastikan ia selesai.

SUMBER: BERITA HARIAN, 18 DISEMBER 2009

Tiada ulasan: