PENGUNJUNG SETIA

04 Disember 2009

DUA BERANAK MAUT SELEPAS MOTOSIKAL BERGESEL KERETA

TANGKAK: Dua beranak dalam perjalanan pulang selepas selesai berniaga maut hanya kira-kira 900 meter dari rumah apabila motosikal ditunggang mereka bergesel dengan kereta di Jalan Kampung Parit Medan, Kilometer 39, Jalan Muar-Kundang Ulu di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.55 malam, Mohad Somali Saiaban, 47, bersama anak lelakinya, Hairul Sahrin, 25, dipercayai baru selesai berniaga roti canai dan dalam perjalanan balik ke rumah mereka di Taman Bakri, Kundang Ulu.

Berikutan geselan itu, motosikal mangsa terbabas menyebabkan mereka tercampak ke atas jalan raya dan mengalami cedera parah sebelum meninggal dunia di tempat kejadian.

Difahamkan, tangan kanan Hairul Sahrin terputus dan tercampak masuk ke dalam kereta selepas cermin depan kenderaan itu pecah.

Manakala tayar kereta di bahagian pemandu tercabut, bergolek di tengah jalan raya menyebabkan ia dilanggar kereta Toyota Camry yang kemudiannya terbabas melanggar tiang dan pokok di tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, berkata siasatan awal mendapati, dua beranak itu menunggang motosikal dalam perjalanan dari Gersik menuju ke Kundang Ulu sebelum kenderaan itu dipercayai bergesel dengan sebuah kereta.

Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Bilik Mayat Hospital Tangkak, manakala pemandu Proton Wira yang identitinya belum dikenali cedera pada mata akibat terkena serpihan cermin depan keretanya yang pecah.

“Kemalangan itu menyebabkan tangan kanan Hairul Sahrin yang terputus, tercampak masuk ke dalam kereta selepas cermin depan kenderaan itu pecah.

“Pemandu kereta yang masih belum disahkan identitinya itu kini dirawat di Hospital Pantai di Melaka. Manakala mayat dua beranak itu sudah dituntut waris mereka pagi tadi.

“Bagi melengkapkan siasatan dijalankan berikutan terdapat keraguan arah dua kenderaan itu, kita meminta saksi bebas tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

Harun berkata, saksi kejadian diminta menghubungi Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Daerah Polis Ledang, Asisten Superitendan Abu Hassan Asari Bakar atau Pegawai Penyiasat Inspektor Mohd Shulul Azmil di talian 06-9789601.

SUMBER: HARIAN METRO, 4 DISEMBER 2009

Tiada ulasan: