PENGUNJUNG SETIA

28 Disember 2009

4 BERANAK MAUT NAHAS JALAN RAYA

JOHOR BAHRU 27 Dis. - Empat sekeluarga maut, tiga daripada mereka rentung manakala dua lagi cedera apabila van yang mereka naiki terbalik dan terbakar dalam kemalangan melibatkan empat buah kenderaan di Kilometer 6.4, Jalan Parit Bunga-Tangkak, Tangkak, semalam.

Kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa sekeluarga yang berasal dari Jalan Kim Kee, Muar, dalam perjalanan menghala ke Tangkak kira-kira pukul 10.30 malam menaiki sebuah van Nissan Vanette.

Mereka yang rentung ialah Ong Buu Siong, 46, dan dua anak lelakinya, Ong Zhen Hui, 7, serta Ong Zhen Zhee, 6, manakala seorang lagi anak lelaki Buu Siong, Ong Zhen Jie, 3, meninggal dunia di Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, akibat mengalami kecederaan parah.

Isteri mangsa, Tan Yee Kiang, 32, dan anak bongsu mereka, Ong Zhen Ki, berusia satu setengah tahun yang berjaya diselamatkan oleh orang ramai kini dirawat di hospital itu dan dilaporkan stabil.

Pegawai Penyiasat Trafik Daerah Ledang, Inspektor Sayuti Mohamad berkata, mangsa yang rentung dipercayai terperangkap di dalam kenderaan.

Katanya, mengikut siasatan awal, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah Toyota Innova dari arah Tangkak ke Muar cuba mengelak sebuah Toyota Wish dari arah bertentangan yang tiba-tiba membelok ke kanan untuk memasuki simpang.

"Keadaan tersebut menyebabkan kereta (Innova) berkenaan hilang kawalan lalu memasuki lorong bertentangan dan bertembung dengan van yang dinaiki mangsa.

"Van tersebut kemudian dipercayai berlanggar pula dengan Toyota Wish itu dan sebuah Toyota Vios sebelum terbalik lalu terbakar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Sayuti lagi, sembilan penumpang dalam tiga buah kenderaan lain yang terbabit dalam kemalangan itu hanya mengalami cedera ringan.

Mereka juga, katanya, telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital yang sama.

Sementara itu, beliau berkata, ketiga-tiga mayat yang rentung dibawa ke Hospital Daerah Ledang untuk bedah siasat.

Katanya, sepasukan bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Tangkak turut dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu memadamkan kebakaran dan mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit.

"Punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan semasa kejadian juga dilaporkan berlaku beberapa letupan kecil," jelasnya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 28 DISEMBER 2009

Tiada ulasan: