PENGUNJUNG SETIA

04 Disember 2009

'ULANG KAJI' DI KAFE SIBER

Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my

MUAR: Kira-kira 20 pelajar lelaki sebuah sekolah asrama penuh yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ditahan selepas didapati berada di kafe siber di Sungai Abong, di sini, dalam satu operasi kira-kira jam 1 pagi kelmarin.

Semua pelajar berusia 17 tahun itu berada di kafe yang jaraknya terletak hanya kira-kira 500 meter dipercayai keluar tanpa kebenaran melalui pintu pagar yang dipercayai tidak berkunci di bahagian belakang berdekatan asrama sekolah berkenaan.

Bagaimanapun, hasrat pelajar terbabit untuk menghilangkan kebosanan kerana terpaksa menunggu kertas peperiksaan sehingga pagi ini gagal apabila premis itu diperiksa dalam Operasi Bersepadu yang disertai Majlis Perbandaran Muar (MPM), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar dan Pejabat Daerah Muar.

Yang Dipertua MPM, Abdul Wahab Ridwan yang mengetuai operasi itu berkata, semua pelajar terbabit diberikan nasihat mengenai kesalahan yang dilakukan dan amaran supaya tidak mengulangi sebelum diserahkan kepada penyelia asrama sekolah berkenaan.

Beliau berkata, operasi bermula jam 12 tengah malam yang diketuainya disertai 40 pegawai MPM, IPD Muar dan Pejabat Daerah Muar bagi meninjau dan melihat keadaan sebenar operasi kafe siber di sekitar daerah ini.

Katanya, dua premis diperiksa termasuk satu di Jalan Haji Jaib, di sini, dikesan beroperasi tanpa lesen lebih setahun lalu yang dipercayai dibuka perniagaannya 24 jam serta kafe siber yang dikunjungi sekumpulan pelajar asrama di Sungai Abong itu.

"Namun, dua lagi premis kafe siber yang beroperasi di Jalan Junid dan Jalan Sulaiman, di sini, tutup apabila pemeriksaan dijalankan sebelum operasi itu ditamatkan selepas jam 3 pagi," katanya di sini semalam.

Abdul Wahab berkata, premis yang beroperasi tanpa lesen itu dikenakan kompaun bernilai RM500 dan diarahkan menutup perniagaannya.

"Kita beri mereka peluang tetapi jika masih enggan patuhi arahan menutup perniagaan itu, pemilik premis akan diheret ke mahkamah untuk tindakan selanjutnya.

"MPM tegas dan memberi ingatan kepada peniaga supaya patuhi undang-undang dengan premis tanpa lesen perlu menutup operasi mereka atau akan dikenakan tindakan lebih berat terhadap mereka," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, hanya 41 kafe siber di daerah ini yang mendapat kelulusan dan diberikan lesen perniagaan manakala 17 lagi permohonan baru dibekukan.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 4 DISEMBER 2009

Tiada ulasan: