PENGUNJUNG SETIA

03 Disember 2009

REMAJA SERTAI KELAB PERLU PERKUKUH EKONOMI

HAMIM diberi penerangan mengenai enjin kereta yang dipamerkan oleh ahli Faceless Motor Club.

HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

BUKIT GAMBIR: Golongan muda yang menyertai sesebuah kelab disyorkan supaya membina kekuatan dari segi ekonomi melalui kelab mereka untuk jangkamasa panjang.

Selain aktiviti kemasyarakatan, ahli kelab boleh menjana ekonomi dengan menjalankan kegiatan perniagaan atas nama kelab mahupun individu itu sendiri.

Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri, berkata apabila sesebuah kelab itu sudah ada di hati masyarakat, fokus untuk membina jaringan ekonomi lebih mudah kerana masyarakat akan memberi sokongan berterusan.

“Tidak mustahil satu masa nanti akan muncul usahawan yang berasaskan kenderaan atau bidang lain dari kalangan ahli kelab memberi saingan kepada usahawan yang sedia ada,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Jualan Mega Ledang 2009 di Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir, di sini.

Karnival yang berlangsung selama 16 hari bermula 21 November lalu itu anjuran bersama Faceless Motor Club (FMC) dan Majlis Daerah Tangkak (MDT) dengan kerjasama Jazz Mal Production & Entertainment.

Hadir sama, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Ledang, Zaidi Abd Majid, Setiausaha Majlis Belia Daerah Ledang, Azlan Zainal, Pengerusi FMC, Razali Yacob dan Naibnya, Mohd Razuan Mohd Senin.

Hamim berkata, golongan belia perlu bergerak aktif dalam menjalankan kegiatan mereka melalui kelab atau persatuan kerana melaluinya dapat membina dan mempertingkatkan kemajuan diri dalam sesuatu bidang.

Katanya, golongan muda mempunyai banyak pilihan sama ada untuk menyertai kelab atau persatuan belia yang boleh melahirkan generasi kepimpinan berpengalaman untuk mengambil alih pengurusan akan datang.

“Kelab FMC merupakan sebahagian daripada komponen golongan muda yang boleh menimba pengalaman dalam pengurusan dan pentadbiran sebuah kelab yang dapat membina permuafakatan sesama ahlinya.

“Kita boleh menambah lebih banyak ahli menyertai kelab tetapi perlu memilih ahli yang berkualiti yang boleh memberikan manfaat kepada kelab demi keharmonian semua ahli,” katanya.

Katanya, jika pihak kepimpinan kelab bersikap telus dan sabar dalam menangani karenah ahli-ahlinya, kelab bukan saja dapat bertahan lebih lama tetapi terus maju dengan aktiviti yang berfaedah.

Hamim turut menyarankan supaya kelab menggunakan kemudahan sedia ada seperti jaringan internet dalam membina hubungan maya dengan kelab-kelab lain melalui laman web atau laman sosial yang popular ketika ini seperti Facebook.

Katanya, interaksi melalui internet boleh merapatkan lagi hubungan silaturahim sesama ahli walaupun di alam siber kerana kita percaya semua kelab permotoran mempunyai laman web masing-masing.

Tambahnya, kelab boleh menggunakan kemudahan itu untuk terus aktif dalam menyumbangkan khidmat bakti kepada masyarakat setempat dan menyebarluaskan kepada masyarakat luar melalui internet.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 3 DISEMBER 2009

Tiada ulasan: