TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

09 Disember 2009

KARNIVAL MARA CATAT JUALAN RM300,000

MUAR: Karnival Jualan anjuran Majlis Amanah Mara (Mara) dalam program jelajah di negeri ini berjaya mendapat sambutan menggalakkan sehingga mencatatkan nilai jualan melebihi RM300,000 dalam tempoh tiga hari karnival dijalankan.

Setakat ini, empat karnival jualan diadakan di Johor Bahru, Kota Tinggi dan Segamat termasuk yang terbaru disertai oleh 80 usahawan daerah Muar dan Ledang yang diadakan di Dataran Tanjung Emas, dekat sini.

Pengarah Mara Johor, Ahmad Sokirin, berkata penganjuran karnival jualan yang biasanya diadakan selama tiga hari pada hujung minggu itu mempromosi produk buatan tempatan dengan menyediakan ruang dan peluang perniagaan dengan kadar bayaran RM200.

Katanya, selain itu melalui karnival itu orang ramai berpeluang mendapat pelbagai barangan termasuk makanan, produk kesihatan, pakaian dan perhiasan dengan harga lebih murah berbanding di pasaran.

“Karnival jualan itu bukan saja mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai, malah usahawan juga berebut-rebut untuk menyertai berikutan ia mencatatkan hasil jualan yang membanggakan, ” katanya pada majlis perasmian Karnival Jualan Daerah Muar/Ledang di Dataran Tanjung Emas.

Katanya, pada karnival di Segamat yang diadakan baru-baru ini, pihaknya mencatatkan nilai jualan RM380,000 sepanjang tempoh tiga hari karnival diadakan dan pihaknya menjangkakan nilai jualan itu akan terus meningkat pada karnival yang akan dianjurkan selepas ini.

Ahmad berkata, susulan sambutan menggalakkan itu, sepanjang bulan ini pihaknya akan mengadakan karnival jualan di Kulaijaya dan Johor Bahru, manakala awal tahun depan di Kluang, Batu Pahat serta Mersing.

Sementara itu seorang usahawan produk kraf, Tuzelan Ahmad, 45, Pengurus Perusahaan Zalifkraf, berkata karnival anjuran Mara itu memberi peluang kepada beliau memperkenalkan produknya dan pada masa yang sama membuka peluang mewujudkan jaringan perniagaan kepada mereka yang berminat dengan produknya.

Katanya, melalui karnival itu juga beliau menjual produknya dengan harga jauh lebih murah berbanding dengan harga pada hari biasa, sekali gus membantu orang ramai mendapatkan produk yang murah.

“Melalui karnival itu saya bukan saja dapat menjual produk syarikat, malah dapat membentuk jaringan perniagaan dengan mereka yang berminat memasarkan produk kraf itu, sekali gus meningkatkan lagi hasil jualan, ” katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 09 DISEMBER 2009

Tiada ulasan: