PENGUNJUNG SETIA

31 Disember 2009

RASUAH: SARJAN POLIS MENGAKU TIDAK BERSALAH

LEDANG 30 Dis. - Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan rasuah melibatkan wang sebanyak RM900, lebih dua tahun lalu.

Abdul Halim Baharom, 49, didakwa menerima wang suapan tersebut daripada Mohd. Shahrizan Ya Mohd. Halid, Abdul Rahim Abdullah dan Muhamad Nabawi Nordin sebagai dorongan untuk menarik balik kes peras ugut yang dihadapi oleh mereka.

Bagi tuduhan pertama, Abdul Halim yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Muar didakwa memperoleh suapan bagi dirinya sebanyak RM900 melalui akaun bank di Maybank Berhad, No. 104, Jalan Abdullah, Muar pada pukul 10.35 pagi, 27 Julai 2007.

Dia turut didakwa meminta suapan RM1,000 daripada tiga individu itu melalui Mohd. Shahrizan di Kompleks K-Mart di Lot 3153, Jalan Kesang, Tanjung Agas di sini kira-kira pukul 1 tengah hari, 20 Julai 2007.

Kedua-dua tuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 11(a) dan 10(a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak kurang 14 hari dan tidak lebih 20 tahun serta denda tidak melebihi lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Hakim Kamarudin Kamsun membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu sebutan semula pada 27 Januari tahun depan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Taufik Khamis manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 31 DISEMBER 2009

Tiada ulasan: