PENGUNJUNG SETIA

07 Disember 2009

KARNIVAL MEGA MARA BANTU TINGKAT JUALAN

MUAR 6 Dis. - Penganjuran Karnival Jualan Mega 2009 oleh Majlis Amanah Rakyat (Mara) bukan sahaja berjaya meningkatkan jualan para usahawan bumiputera, malah memperluaskan lagi rangkaian perniagaan usahawan-usahawan terbabit di seluruh negeri ini.

Pengarah Mara negeri Johor, Ahmad Sokirin berkata, karnival berkenaan merupakan kesempatan terbaik untuk mempromosikan produk-produk tempatan bermutu tinggi di samping menarik lebih ramai wakil pengedar.

Katanya, karnival jualan yang mula diperkenalkan pada tahun ini sememangnya mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai berikutan kepelbagaian produk yang ditawarkan.

"Dalam program Jualan Mega ini, barang-barang seperti produk makanan dan kesihatan dijual secara runcit pada harga borong dan ini membuatkan ia lebih murah.

"Kami juga mahu menaikkan lagi jenama produk-produk buatan tempatan serta membantu para usahawan mendapat wakil jualan di seluruh negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Penutup Karnival Jualan Mega peringkat daerah Muar dan Ledang yang disempurnakan Ahli Parlimen Ledang, Ir. Hamim Samuri di Dataran Tanjung Emas di sini hari ini.

Karnival selama tiga hari yang bermula Jumaat lalu turut dihadiri Pengarah Bahagian Perancangan Korporat Mara, Mohd. Rosdi Ismail serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar (MPM), Abd. Wahab Ridwan.

Program Jualan Mega yang diadakan di Muar dan Ledang itu merupakan lokasi keempat penganjurannya selepas Johor Bahru, Kota Tinggi dan Segamat.

Ahmad Sokirin berkata, pihak beliau meletakkan sasaran karnival yang menghimpunkan sebanyak 80 gerai itu akan mencatatkan nilai jualan keseluruhan sebanyak RM500,000.

"Karnival ini tidak hanya menarik penyertaan para usahawan, ia juga melibatkan pameran-pameran daripada pelbagai agensi kerajaan termasuk Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta bank-bank tempatan," katanya.

Sementara itu, Hamim dalam ucapannya menyarankan para usahawan supaya lebih kreatif dalam memasarkan produk serta menggunakan sepenuhnya kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).

"Saya yakin program seperti ini akan terus mendapat sambutan pada masa akan datang kerana ia memberi pelbagai kelebihan kepada golongan peniaga dan juga pengguna," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 7 DISEMBER 2009

Tiada ulasan: