TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

28 Disember 2009

MANGSA RAYU MINTA POTONG KAKI

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

IBU Ong hadir ke rumah mayat untuk menuntut mayat mangsa bersama tiga anaknya yang maut dalam kemalangan lewat malam semalam di Parit Bunga, Jalan Muar-Tangkak.

Orang ramai tak dapat tarik keluar mangsa, dua anak kerana van terbakar, meletup

TANGKAK: Seorang saksi kemalangan ngeri yang meragut nyawa seorang lelaki bersama tiga anaknya, tidak dapat melupakan jeritan meminta pertolongan mangsa yang turut meminta kakinya dipotong supaya dapat dikeluarkan daripada van Nissan Vannette yang remuk dan sedang terbakar.

Abdul Aziz Samad, 21, bersama sepupunya dalam perjalanan untuk ke ekspo di Dataran Tanjung Emas apabila kemalangan itu berlaku menyebabkannya berhenti untuk membantu mangsa.

Bagaimanapun, cubaannya itu gagal menyelamatkan mangsa Ong Dun Siong, 46 dan dua anak, Zhen Hui, 10 dan Zhen Qi, 6, yang rentung dalam kemalangan kira-kira jam 10.30 malam itu, manakala seorang seorang lagi anaknya, Zhen Jie, 3, disahkan meninggal dunia kira-kira jam 4 pagi, ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF).

Abdul Aziz berkata beliau tiba di tempat kejadian ketika kemalangan baru berlaku dan terdapat beberapa lagi orang yang cuba membantu keluarga malang itu tetapi tidak sempat apabila api mula marak dan van itu meletup.

"Lelaki itu berulang kali menjerit meminta tolong supaya diselamatkan dan supaya kakinya dipotong bagi mengeluarkannya yang tersepit di dalam kereta yang remuk tetapi orang ramai tidak dapat berbuat apa-apa kerana api mula marak dan mangsa tidak dapat dikeluarkan.

"Keadaan di tempat kemalangan itu sungguh menyayat hati, " katanya ketika ditemui di tempat kejadian di Parit Bunga, Jalan Muar-Tangkak, di sini semalam.

Pemandu Toyota Vios yang turut terbabit dalam kemalangan itu yang hanya dikenali sebagai Young, 39, berkata beliau bersama isteri, dan dua rakannya dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur apabila terbabit dalam kemalangan itu.

Katanya, mereka sempat memecahkan pintu cermin kenderaan itu menggunakan kunci stereng dan berjaya mengeluarkan seorang lelaki, dua kanak-kanak serta seorang wanita sebelum van itu terbakar dan meletup.

"Pada mulanya saya cuba membuka pintu van tetapi gagal menyebabkan saya mengambil kunci stereng kereta saya dan memecahkan cermin tingkap untuk mengeluar dan menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan," katanya.

Katanya, selepas memecah cermin kereta itu, mereka mengeluarkan seorang kanak-kanak dan menarik seorang lelaki sebelum mengeluarkan seorang wanita bersama bayinya yang berusia kira-kira setahun.

Beliau berkata, selepas berjaya mengeluarkan ibu dan dua anaknya serta seorang lagi lelaki, barulah van itu terbakar dan meletup.

"Hanya selepas van itu terbakar, baru saya sedar bahawa dua lagi kanak-kanak masih terperangkap dalam kenderaan itu tetapi pada masa itu api sudah marak dan saya terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan semua mangsa, " katanya.

Seorang lagi saksi, Abu Bakar Hamzah, 41, terkilan kerana gagal menyelamatkan mangsa walaupun beberapa kali cuba menarik tangannya berikutan kaki mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.

Abu Bakar, seorang peniaga pasar malam bersama dua anak kembarnya yang berusia 15 tahun, Mohd Daniel Afiq dan Mohd Daniel Aniq, berkata mereka cuba berulang kali mengeluarkan mangsa tetapi gagal sebelum api mula marak.

"Pemandu lelaki itu beberapa kali minta tolong menyelamatkan dan meminta supaya kami berbuat apa-apa saja termasuk memotong kakinya bagi mengeluarkannya daripada van tetapi kami tidak tidak berdaya langsung menariknya keluar.

"Apabila api semakin marak, saya melihat depan mata mangsa terkapai-kapai kepanasan dalam api dan kejadian itu menyebabkan saya tidak mampu tidur sepanjang malam kerana terkilan gagal menyelamatkannya," katanya.

Sementara itu, bapa dan datuk kepada mangsa, Ong Ker Ting, 65, terkejut apabila kehilangan empat anggota keluarganya secara serentak.

Ong berkata, anak lelakinya bersama keluarganya baru balik ke rumahnya ke Masjid Tanah, Melaka untuk menyambut Krismas bersama-sama pada minggu lalu dan dalam pertemuan itu mereka sempat merancang untuk bergambar beramai pada Tahun Baru Cina akan datang.

"Saya tidak menyangka, hasrat kami untuk bergambar beramai-ramai tidak kesampaian apabila anak saya bersama tiga cucu saya meninggal dunia dalam kemalangan ini.

"Saya akan sentiasa teringat dan merindui cucu saya yang comel dan suka bergambar serta gemar berjenaka itu," katanya sambil memaklumkan keluarga itu baru berpindah ke Muar kira-kira setahun lalu.

SUMBER: BERITA HARIAN, 28 DISEMBER 2009

Tiada ulasan: