PENGUNJUNG SETIA

19 Disember 2009

NOOH GADUT PENERIMA ANUGERAH MAAL HIJRAH JOHOR 2009


ZAINAL Abidin Osman (tengah) menyampaikan anugerah Tokoh Maal Hijrah kepada Nooh Gadut sempena sambutan Maal Hijrah peringkat negeri Johor di Kompleks Islam Johor, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 18 Dis. - Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ), Datuk Nooh Gadut, 63, dipilih sebagai penerima Anugerah Maal Hijrah Johor 2009 pada majlis sambutan Maal Hijrah Peringkat Johor di sini hari ini.

Anugerah tersebut sebagai menghargai jasa dan sumbangan besar bekas Mufti Johor itu dalam pembangunan Islam di negara ini.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Johor, Datuk Zainal Abidin Osman yang mewakili Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman menyampaikan trofi anugerah berkenaan di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar.

Sambil melahirkan rasa kesyukuran, Nooh ketika ditemui berkata, beliau tidak menyangka dipilih sebagai penerima anugerah tersebut dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri.

"Saya berharap agar dapat terus memberi sumbangan kepada kesejahteraan dan perpaduan umat Islam pada masa depan," katanya.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd. Ali Hassan dan Mufti Johor, Datuk Mohd. Tahrir Kiyai Shamsuddin.

Nooh berkata, setiap umat Islam perlu memberi sumbangan kepada Islam mengikut kemampuan masing-masing bagi memartabatkan lagi agama itu.

Menurutnya, ia penting khususnya bagi umat Islam di negara berbilang kaum dan keturunan untuk memastikan ketenteraman dan keharmonian negara.

"Saya mendoakan agar penduduk berbilang kaum di negara ini terus hidup dengan bersatu padu dan maju," katanya.

Sementara itu, Mohd. Sani Abdullah, 52, yang menerima Anugerah Khas Saudara Baru Lelaki berkata, beliau bersyukur kerana diberikan anugerah berkenaan selepas mengharungi pelbagai liku kehidupan selepas memeluk Islam kira-kira 30 tahun lalu.

Menurutnya, antara pengalaman itu ialah beliau diboikot oleh ahli keluarganya sebaik sahaja memeluk Islam ketika berusia 20 tahun.

Bapa empat orang anak itu berkata, bagaimanapun selepas tempoh tertentu keluarganya dapat menerima beliau kembali dengan hati terbuka.

"Apabila keislaman saya diketahui oleh keluarga, saya pernah dikurung dan dilumurkan daging babi tetapi dengan kuasa Allah saya dapat melarikan diri.

"Dan semasa berlari ke rumah bapa angkat, saya terus menerus melaungkan azan," katanya yang berasal dari Muar menceritakan cabaran awal memeluk Islam.

Mohd. Sani yang kini bertugas sebagai Pembantu Tadbir Kanan Hospital Jasin aktif dalam pelbagai kerja kebajikan khususnya membantu golongan saudara baru.

Sementara itu, Nur Maliha Abdullah pula menerima Anugerah Khas Saudara Baru Wanita manakala pasangan yang mempunyai tujuh orang anak, Othman A. Rahman, 79, dan isteri, Noraini Abd. Rahman, 69, dipilih sebagai pemenang Anugerah Ibu Bapa Mithali.

Selain itu, ibu bapa kepada enam orang anak, Saim Suradi, 78, dan isterinya, Sainah Amnah Ahmad, 70, pula dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Ibu Bapa Mithali.

Dalam pada itu, Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid Taman Universiti, Skudai dipilih sebagai pemenang pertama Anugerah Masjid Cemerlang manakala Surau Kampung Felda Tunggal Kota Tinggi muncul penerima Anugerah Surau Cemerlang.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 19 DISEMBER 2009

Tiada ulasan: