PENGUNJUNG SETIA

15 Disember 2009

HASRAT LIHAT MASJID BARU TAK KESAMPAIAN

Allahyarham Roslan Paimin (dalam bulatan) ketika bersama ahli dan jawatankuasa Faceless Motor Club.
HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA HARIAN

BUKIT GAMBIR: Hasrat Setiausaha Masjid Jamek Bukit Gambir untuk melihat masjid baru didirikan di tapak tanah milik keluarganya tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia setelah terbabit dalam kemalangan jalan raya Khamis lalu.

Allahyarham Roslan Paimin, 43, meninggal dunia apabila terbabit dalam kemalangan di Kilometer 86, Jalan Kuantan – Segamat berhampiran Ladang Simpai, Pahang ketika dalam perjalanan berkonvoi ke Kuantan bersama tujuh rakan yang lain menunggang motosikal berkuasa tinggi.

Ketua Umno Cawangan Parit Jarum Tengah, Ramli Abd Rahman, berkata cadangan Allahyarham Roslan mahu sebuah masjid baru dibina di atas tanah yang akan diwakafkan berhampiran masjid sedia ada telah disuarakan sejak dua tahun lalu.

Katanya, jawatankuasa masjid juga telah bermesyuarat mengenai perkara tersebut dan telah mengemukakan permohonan kepada pihak yang berkenaan namun tertangguh hingga kini.

“Allahyarham telah mencadangkan supaya sebuah masjid baru yang lebih luas dibina di atas tapak rumah sewa milik keluarganya bagi menampung kapasiti jemaah yang semakin bertambah.

“Tapak masjid sedia ada diwakafkan oleh aruah bapanya dan kini mampu menampung 600 jemaah dalam satu-satu masa yang datang dari kawasan Bukit Gambir, Parit Jarum Tengah, Parit Turun, Sungai Rambai dan taman perumahan di sekitarnya,” katanya kepada Berita Harian.

Ramli berkata, hasrat Allahyarham apabila masjid baru dibina, sebuah Pusat Tamadun Ilmu akan dibuka di bangunan masjid asal untuk kegunaan penduduk tempatan.

Katanya, hasrat itu tidak kesampaian apabila Allahyarham telah pergi dahulu dan beliau serta rakan-rakan yang lain merasakan satu kehilangan besar kerana semasa hayatnya Allahyarham merupakan seorang yang aktif dan banyak membantu dalam hal-hal kebajikan dan kemasyarakatan.

Menurut beliau lagi, impian Allahyarham untuk membina sebuah perkampungan baru yang menempatkan rumah sewa sebagaimana yang dipelopori oleh aruah bapanya lebih 40 tahun lalu di pekan Bukit Gambir juga tidak kesampaian.

Katanya, ketika ini terdapat kira-kira 15 buah rumah sewa di atas tapak yang dicadangkan untuk dibina masjid baru yang dikenali Kampung Cikgu Paimin dan apabila cadangan itu menjadi kenyataan, rumah sewa itu akan dipindahkan ke kawasan baru di Parit Jarum Tengah.

Sementara itu, Pengerusi Faceless Motor Club (FMC), Razali Yacob turut merasai kehilangan seorang yang banyak membantu dan menyokong segala aktiviti dan perjalanan kelab.

Katanya, Allahyarham merupakan salah seorang ahli jawatankuasa kelab itu yang banyak memberikan komitmen dan pandangan bernas demi kemajuan kelab.

“Kami ahli FMC amat terasa kehilangannya kerana beliau adalah rakan yang baik dan mudah diajak berunding apabila terdapat perkara yang memerlukan pendapat beliau.

“Selain menganggotai FMC, beliau juga pelopor kelab Bukit Gambir Bikers yang menghimpunkan pemilik motosikal berkuasa tinggi di kawasan Bukit Gambir,” katanya.

Katanya, sifat peramah dan terbuka Allahyarham membuatkan beliau disenangi oleh rakan-rakan sama ada di dalam kelab mahu pertubuhan lain yang beliau sertai.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 15 DISEMBER 2009

Tiada ulasan: