PENGUNJUNG SETIA

03 Disember 2009

338 LADANG SEDIA PERUMAHAN STANDARD

KOTA ISKANDAR: SIDANG Dewan Negeri Johor dimaklumkan semalam, bahawa sejumlah 338 ladang daripada 353 ladang di seluruh negeri, menyediakan perumahan kepada pekerjanya dengan perlu mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, M Asojan (gambar), berkata melalui pemeriksaan audit dan ladang yang dijalankan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) negeri, sebanyak 19,939 unit rumah mempunyai sekurang-kurangnya dua bilik.

"Daripada jumlah itu, kita dapati sebanyak 3,836 unit rumah kurang menepati spesifikasi akta berkenaan dan JTK sudah mengarahkan supaya majikan ladang mengubah suai dan menaik taraf rumah berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Samsol Bari Jamali (BN-Semarang).

Asojan berkata, selain itu, syarikat ladang di negeri ini yang menyertai Pelan Pembangunan Lima Tahun (RPLT) 2009-2013 yang dilancarkan kerajaan Pusat juga komited untuk meningkatkan kehidupan komuniti ladang.

Katanya, ada 10 syarikat iaitu Sime Darby Bhd, Kuala Lumpur Kepong, IOI Corporation, Felda Plantations, Tradewinds Plantation Bhd, Boustead Plantation Bhd, PPB Oil Palms Bhd, Asiatic Development dan United Plantations Bhd menyertai RPLT.

"Antara perkara yang diberi perhatian di bawah pelan ini adalah usaha meningkatkan kemudahan asas dan perumahan pekerja yang disediakan ladang-ladang termasuk menyediakan rumah ibadat, bekalan air dan bekalan elektrik daripada sumber awam," katanya.

Selain itu katanya, majikan ladang yang mempunyai sekurang-kurangnya 10 orang tanggungan di bawah umur empat tahun dikehendaki menubuhkan Pusat Asuhan Kanak-kanak (PAKK) dan kini terdapat sebanyak 102 PAKK di ladang-ladang seluruh negeri Johor.

Beliau berkata, pada tahun lalu, sebanyak 32 PAKK di seluruh Johor mendapat kemudahan ini dengan jumlah yang dibelanjakan sebanyak RM424,638 dan pada tahun ini, peruntukan kepada 14 PAKK diluluskan untuk menerima peralatan dengan jumlah RM174,000.

Asojan berkata, selain PAKK, terdapat 74 sekolah rendah menengah dalam ladang di Johor dan kerajaan sedang berusaha memberikan kemudahan lebih baik dengan menyediakan bangunan yang selesa serta selamat.

Menjawab soalan tambahan Samsol Bari berhubung perbezaan gaji pekerja ladang asing dan tempatan, Asojan berkata, JTK mendapati bahawa kadar gaji yang diberikan adalah sama.

"Apa yang berbeza adalah pekerja asing rajin, mereka boleh kerja daripada jam 7 pagi hingga jam 7 petang berbanding pekerja tempatan yang selalu ponteng serta bekerja sehingga jam 3 petang, sebab itu, upah yang diterima berbeza," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 3 DISEMBER 2009

Tiada ulasan: