PENGUNJUNG SETIA

30 November 2009

MAIJ SASAR KUTIPAN ZAKAT RM110j

Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@bharian.com.my

Majlis mahu lebih agresif promosi khidmat bayaran melalui potongan gaji

MUAR: Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) yakin mampu mencapai sasaran ditetapkan untuk mengutip zakat termasuk zakat fitrah berjumlah RM110 juta pada tahun ini, berdasarkan peningkatan jumlah kutipan diperoleh sekarang.

Bagi tempoh Januari hingga Oktober lalu, MAIJ berjaya mengumpul kutipan berjumlah RM86.4 juta zakat termasuk zakat fitrah dan jumlah itu meningkat hampir 70 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Rahman Jaffar, berkata kira-kira 70 peratus zakat yang diterima pada tahun ini, sudah diagihkan kepada lapan golongan asnaf yang layak di seluruh negeri ini.

"Daripada kutipan zakat diterima, sejumlah besar digunakan bagi membina dan membaik pulih sejumlah 120 rumah fakir miskin," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Program Insaniyah dan Majlis Penyerahan Zakat di Kampung Seri Tanjung, Panchor di sini, baru-baru ini.

Abdul Rahman berkata, MAIJ akan lebih agresif untuk mempromosikan khidmat bayaran zakat melalui potongan gaji bulanan pada tahun depan kerana ia memudahkan pembayaran Rukun Islam keempat itu.

Katanya, sejumlah RM1 juta daripada kutipan zakat yang dibuat pada tahun ini, adalah kutipan daripada pembayaran zakat melalui potongan gaji bulanan.

"Khidmat bayaran zakat melalui potongan gaji bulanan bukan hanya untuk kakitangan kerajaan, malah turut membabitkan pekerja di syarikat swasta yang boleh menggunakan perkhidmatan itu dengan membuat bayaran kepada amil institusi seperti bank yang dilantik," katanya.

Abdul Rahman berkata, bayaran zakat termasuk yang dibuat melalui potongan gaji bulanan itu juga boleh ditolak dalam cukai pendapatan.

Sementara itu, Jovita Gahuk, 37, berkata, beliau menerima bantuan zakat bernilai RM250 setiap bulan untuk bayaran pengangkutan berulang alik ke hospital.

Katanya, beliau yang menghidap penyakit kekejangan otot dan anemia, perlu berulang-alik ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) sekali dalam seminggu.

"Bantuan yang diterima banyak meringankan beban kerana suami hanya bekerja sebagai kelindan lori dengan pendapatan RM600 sebulan dan tiga anak masih bersekolah di tahun empat hingga tingkatan lima," katanya yang menghidap penyakit itu sejak tujuh tahun lalu.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 30 NOVEMBER 2009

Tiada ulasan: