PENGUNJUNG SETIA

29 November 2009

DUBAI TAK JEJASKAN ISKANDAR

LEDANG 28 Nov. – Kebimbangan terhadap masalah kewangan syarikat pelaburan hartanah utama di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada masa kini tidak menjejaskan pembangunan di Iskandar Malaysia kerana syarikat dari Dubai bukan pelabur utama dalam wilayah itu.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, sebaliknya pelabur utama di Iskandar Malaysia adalah syarikat-syarikat dari Abu Dhabi, UAE selain Kuwait dan Arab Saudi.

Jelas beliau, penglibatan Dubai dalam pelaburan Iskandar Malaysia hanya melibatkan peratus yang kecil kerana hanya ada sebuah syarikat Dubai dalam bidang hartanah berhampiran Puteri Harbour di Nusajaya.

“Kita maklum apa yang berlaku di Dubai sekarang ini, besar kemungkinan ia akan memberi kesan melampaui dari Dubai itu sendiri.

“Dan memang ada syarikat dari Dubai dalam bidang hartanah yang yang membuat cadangan untuk pembangunan kawasan seluas lapan hektar di Nusajaya, mungkin projek ini terjejas berikutan apa yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengagihkan daging korban anjuran Biro Kebajikan UMNO Bahagian Ledang di Kampung Padang Lerek 2, Tangkak di sini hari ini.

Baru-baru ini, pemerintah Dubai mengumumkan keputusan menangguhkan pembayaran hutang berjumlah RM194 bilion terhadap syarikat konglomerat, Dubai World bagi tempoh enam bulan.

Penangguhan berkenaan menimbulkan reaksi kebimbangan dunia mengenai projek-projek hartanah di wilayah tersebut serta kesannya kepada ekonomi dunia termasuk Iskandar Malaysia.

Menurut Abdul Ghani, keadaan di Dubai adalah lebih tertumpu kepada masalah kerajaannya yang tidak mampu untuk memenuhi janji membayar pinjaman pembiayaan pembangunan.

Katanya, dengan kedudukan ekonomi di Abu Dhabi masih lagi kukuh, beliau yakin pelaburan yang dibuat wilayah tersebut di Iskandar Malaysia tidak akan terjejas.

Jelasnya lagi, pelaburan di Iskandar turut melibatkan negara-negara lain dari Eropah serta Jepun dan China.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 29 NOVEMBER 2009

Tiada ulasan: