TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

28 November 2009

PENDUDUK LEDANG LAKSANAKAN IBADAT KORBAN

Penduduk kampung bergotong-royong melapah daging lembu dalam majlis korban di Kampung Parit Kassan.
TEKS & FOTO: ADISABARIMAN

Kerja memotong daging dilakukan secara bergotong-royong sebelum diagih-agihkan.

TEKS & FOTO: ADISABARIMAN

LEDANG: Sempena Hari Raya Aidiladha umat Islam di seluruh dunia pasti teringat sejarah Nabi Ibrahim AS yang diperintahkan oleh Allah supaya menyembelih anaknya Nabi Ismail AS sebagai satu pengorbanan yang amat tinggi maknanya.

Atas kesedaran kepada peristiwa itu serta kemampuan yang ada, umat Islam di beberapa buah kampung sekitar daerah ini tidak ketinggalan melaksanakan ibadah korban.

Mereka mengadakan ibadah korban itu secara individu ataupun berkelompok mengikut kemampuan masing-masing.


Ketua Kampung Sagil Parit 3, Mohd Bahari Sakrani

Ketua Kampung Sagil Parit 3, Mohd Bahari Sakrani, berkata sebanyak tujuh ekor lembu ditumbangkan untuk melaksanakan ibadah korban di kampungnya.

Katanya, daripada tujuh ekor itu, empat ekor dikorbankan secara individu manakala tiga ekor lagi dilaksanakan secara berkelompok.

“Alhamdulillah, masyarakat di kampung ini dapat menjalankan ibadah korban atas kemampuan dan rezeki yang dilimpahkan oleh Allah.

“Melalui ibadah korban ini, ia dapat menilai betapa tingginya pengorbanan seseorang itu sama ada dari segi wang dan harta semata-mata untuk meningkatkan keimanan mereka kepada Allah,” katanya ketika ditemui pada majlis korban di Surau Al-Mizan, Sagil Parit 3.

Mohd Bahari berkata, melalui program korban secara berkelompok, setiap individu yang menyertainya dikenakan bayaran RM400 untuk satu bahagian termasuk kos pengurusan.

Katanya, mereka yang tidak berkemampuan untuk membeli seekor lembu dapat melaksanakan ibadah itu dengan cara berkelompok yang menerapkan semangat tolong-menolong.

Beliau berharap program korban secara berkelompok itu dapat diteruskan pada masa akan datang kerana ia dapat memberi peluang kepada individu yang kurang berkemampuan turut melaksanakan ibadah itu.

Sementara itu, penduduk Kampung Parit Kassan turut menjalankan ibadah korban dengan menyembelih 12 ekor lembu pada hari pertama Aidiladha.

Ketua Kampungnya, Mohd Hamzah Basar, berkata walaupun keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan namun mereka masih mampu untuk melaksanakan ibadah itu semata-mata untuk menunaikan tanggungjawab terhadap Allah.

Katanya, pelaksanaan ibadah korban di kampungnya dibahagikan kepada empat kumpulan mengikut kedudukan masjid dan surau yang ada di situ.

“Bagi kumpulan Masjid, dua ekor lembu dikorbankan manakala Surau Satu (1 ekor); Surau Dua (3); Surau Tiga (6) dan daging korban tersebut diagih-agihkan kepada fakir miskin serta asnaf yang berhak menerimanya,” katanya.

Katanya, program korban itu dijalankan secara bergotong-royong bermula dari menyembelih, melapah dan mengagih-agihkan daging kepada penduduk kampung dan melibatkan semua peringkat umur. -iNFOLEDANG

Tiada ulasan: