PENGUNJUNG SETIA

07 November 2009

1,000 HADIRI PROGRAM SEMINAR KERJAYA PRA UNIVERSITI


ABDUL Ghani Othman menerima cenderamata daripada Sufaat (kanan) selepas menyempurnakan majlis pelancaran Seminar Kerjaya Prauniversiti di Tangkak, Ledang, Johor, semalam.

LEDANG 6 Nov. - Lebih 1,000 pelajar tingkatan enam dari negeri ini menjayakan program Seminar Kerjaya Prauniversiti di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Tangkak di sini hari ini.

Program tahunan berkenaan melibatkan 89 sekolah menengah yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan turut dihadiri Pengarah Pelajaran negeri, Sufaat Tumin.

Dalam ucapannya, Abdul Ghani menyeru pelajar terbabit meningkatkan usaha menempa kejayaan menjejaki universiti dan kemudian berupaya menjadi tenaga profesional negara.

"Sistem pelajaran negara memang memberi kesempatan kepada semua anak Malaysia untuk menguasai ilmu dari peringkat sekolah rendah sehingga ke peringkat tertinggi.

"Dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat, pelbagai peluang kerjaya berjaya diwujudkan dan menunggu diisi tenaga anak tempatan," katanya.

Menurutnya, beliau percaya para pelajar pra universiti akan menunjukkan kegigihan serta komitmen tinggi dalam mencatatkan keputusan cemerlang pada peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Program yang berlangsung hari ini melibatkan pelbagai pengisian termasuk ceramah kerjaya bidang perniagaan dan keusahawanan daripada Ketua Pegawai Eksekutif Jcorp, Tan Sri Muhamad Ali Hashim.

Antara matlamatnya adalah membuka minda para pelajar bagi menentukan hala tuju kerjaya dan mengenali bidang-bidang bersesuaian dalam sektor awam serta swasta.

Sementara itu, menurut Sufaat, jumlah pelajar prauniversiti di negeri ini sehingga kini ialah 11,747 orang terdiri daripada 6,177 pelajar tingkatan enam rendah dan 5,570 pelajar tingkatan enam atas.

"Tingkatan enam telah melalui proses perubahan dengan penjenamaan semula tingkatan enam kepada prauniversiti.

"Sistem pengurusan sekolah prauniversiti yang berbeza ini bertepatan dengan hasrat kerajaan melalui Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) untuk memperkasakan sistem pendidikan negara," katanya.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 7 NOVEMBER 2009

Tiada ulasan: