PENGUNJUNG SETIA

24 November 2009

MERCU TANDA TERBIAR

Oleh Junita Mat Rasid
junita@bharian.com.my

TANGKAK: Replika beca gergasi di tebing Sungai Kesang, dekat sini pernah menjadi mercu tanda menyambut kedatangan pelawat dari Melaka ke Johor, tetapi kini selepas kira-kira 10 tahun kawasan itu mula terbiar.

Kedudukan replika itu kira-kira 10 kilometer dari bandar Muar yang bersempadan dengan Daerah Ledang dengan Sungai Rambai, Melaka, sebelum ini dibangunkan sebagai tempat rekreasi serta tarikan pelancongan.

Projek Taman Rekreasi Kesang yang menelan belanja kira-kira RM1 juta dibina pada 1998 dengan pelbagai kemudahan termasuk petak letak kereta, permainan kanak-kanak, kompleks perniagaan yang menyediakan ruang niaga termasuk gerai makan, kraftangan dan galeri seni.

Kewujudan replika beca gergasi dan menara tinjau di tebing Sungai Kesang itu menjadi mercu tanda pelawat ketika melintasi Sungai Kesang menuju ke Tangkak atau ke Muar, selain mewujudkan kelainan pemandangan.

Bagaimanapun pembukaan Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) sejak Jun tahun lalu yang menyebabkan mereka yang mahu ke Melaka atau Muar tidak lagi perlu melalui pekan Sungai Rambai, menjadikan Taman Rekreasi Kesang itu bukan lagi laluan utama.

Lebuh AMJ itu yang menjadi laluan pintas tanpa perlu melalui kawasan perkampungan atau pekan kecil dan memendekkan lagi jarak perjalanan, menjadi antara faktor kawasan rekreasi itu mula terbiar serta tidak lagi menjadi antara lokasi persinggahan.

Tinjauan mendapati kawasan taman itu mula terbiar dan tidak lagi menjadi tumpuan orang ramai, sama ada untuk berehat ketika cuti hujung minggu atau sekadar berehat pada waktu penting.

Replika beca itu kini semakin hilang serinya, apabila ia bukan saja dibiarkan berkarat, malah beberapa peralatannya termasuk rim tayar, bumbung beca dan rantai beca turut rosak, selain catnya juga semakin pudar.

Kewujudan pusat rekreasi itu bertujuan mengindahkan kawasan yang menjadi pintu masuk ke Johor dari arah utara khususnya dari bandar Melaka tetapi kini keadaan yang menyedihkan, malah tidak keterlaluan jika dikatakan ia menyakitkan pemandangan.

Penduduk, Norizah Bakar, 36, berkata sebelum ini taman rekreasi itu sering dipenuhi pengunjung terutama pada hujung minggu atau cuti sekolah, selain menjadi antara lokasi persinggahan pelawat terutama untuk mengabadikan gambar kenangan beca gergasi itu.

Beliau terkilan kerana pembinaan pusat rekreasi itu membabitkan kos yang banyak, tetapi akhirnya selepas beberapa tahun, ia dibiarkan begitu saja sehingga akhirnya bukan menjadi kawasan tarikan tetapi mencatatkan pemandangan.

"Dulu kawasan taman itu cantik dan pelbagai program diadakan, tetapi kini ia mula terbiar dan hanya ada satu pusat pancing udang pada waktu malam, manakala semua gerai dan kawasan rekreasi lain terbiar," katanya.

Selain itu seorang pekerja swasta, Mohd Hanis Nasir, 24, sedih apabila melihat kawasan yang beliau sering kunjungi itu, berubah daripada kawasan yang indah dan menenangkan kepada kawasan terbiar dan tidak menarik.

Beliau yang tinggal di Merlimau, Melaka dan berulang alik ke tempat kerjanya di Tanjung Agas, sering singgah di taman itu dan menyedari perubahan kawasan itu yang sebelum ini menjadi kawasan tarikan kepada kawasan terbiar.

"Saya berharap pihak berkaitan memperbaiki kawasan itu dan tidak dibiarkan begitu saja serta memastikan pembangunan baru tidak menjejaskan kedudukan kawasan pembangunan sedia ada," katanya.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 24 NOVEMBER 2009

Tiada ulasan: