PENGUNJUNG SETIA

20 November 2009

SIDANG DUN JOHOR: HADIAH UNTUK RAKYAT

Oleh Mohd Zin Ali dan Johan Afandi
bhnews@bharian.com.my


ABDUL GHANI membentangkan ucapan Bajet Johor 2010

Rebat air, bantuan kewangan pendidikan pacu kesejahteraan

KOTA ISKANDAR: Bajet Negeri Johor 2010 yang bertemakan 'Bersatu Tenaga, Sejahtera Bersama' menyaksikan pelbagai insentif disediakan kepada rakyat negeri ini dalam usaha untuk meningkatkan kemudahan awam sebagai kesinambungan pendekatan pembangunan holistik yang diamalkan pimpinan Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman.

Kerajaan Johor terus memberikan tumpuan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat yang berpendapatan rendah terutama dalam kelompok miskin dan miskin tegar termasuk masyarakat Orang Asli, warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Abdul Ghani berkata, kerajaan negeri akan memberi rebat bil air sehingga 20 meter padu kepada kira-kira 10,000 keluarga miskin, miskin tegar dan mudah miskin di negeri ini bagi membantu meringankan beban golongan berkenaan pada tahun depan.

Beliau berkata, kerajaan melalui SAJ Holdings Sdn Bhd (SAJH) memperkenalkan skim pemberian rebat bil air itu untuk meningkatkan bantuan jaringan keselamatan sosial bagi meringankan beban golongan sasaran terbabit termasuk Orang Asli Miskin Tegar.

"Bagi keluarga miskin tegar, kerajaan negeri berbesar hati mengumumkan akan memberikan rebat bil air sehingga 20 meter padu pertama atau RM12 manakala pemberian rebat bil air sehingga 10 meter padu pertama atau RM4 kepada keluarga miskin," katanya ketika membentangkan Bajet Negeri Johor Darul Takzim 2010 di Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar, di sini semalam.

Abdul Ghani berkata, bagi menggalakkan lebih ramai anak Johor yang kurang mampu mengikuti pengajian profesional pula, Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) akan menyediakan biasiswa khusus untuk pelajar terpilih mengikuti kursus dalam bidang kritikal di peringkat ijazah dan pasca ijazah mulai tahun depan.

"Pada tahun depan juga, YPJ akan memberikan bantuan kewangan untuk anak-anak Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar dalam Pangkalan Data Nasional, E-Kasih sebanyak RM1,000 untuk pendaftaran kursus Ijazah, RM800 untuk kursus Diploma dan RM500 untuk kursus peringkat sijil," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan membina 1,500 unit rumah untuk disewa di Iskandar Malaysia yang sedang dibina Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (Irda) dalam memenuhi keperluan perumahan bagi golongan berpendapatan rendah iaitu pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.

Beliau berkata, pihaknya akan membina sebanyak 190 rumah baru dan 150 rumah akan dibaik pulih bagi memenuhi keperluan keluarga miskin dan miskin tegar dengan peruntukan Pejabat Menteri Besar, Majlis Agama Islam Johor (Maij) dan Kerajaan Pusat.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri akan memperkemaskan lagi proses pembayaran bantuan sosio kebajikan kepada golongan sasaran dengan membuat pembayaran pada hari pertama pada setiap bulan.

"Ia merangkumi pembayaran bantuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor, Maij dan pembayaran dividen bulanan di bawah Felcra Berhad, " katanya.

Selain itu, Abdul Ghani berkata, kerajaan negeri juga prihatin kepada penjawat awam yang berisiko tinggi seperti pembantu penguat kuasa, pemandu, penghantar notis, pengawal keselamatan dan pekerja awam lain.

Sehubungan itu, katanya, antara usaha untuk meningkatkan tahap kecekapan perkhidmatan, kerajaan bercadang memberi perlindungan takaful bernilai RM30,000 seorang membabitkan 2,975 kakitangan awam yang memegang jawatan berisiko tinggi.

Dalam usaha memerangi rasuah, beliau berkata, setiap projek kerajaan akan ditawarkan melalui tender terbuka kecuali dalam kes tertentu serta memilih Perunding untuk khidmat perundingan secara kaedah pelawaan atau sistem giliran.

"Kerajaan juga akan bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melalui Unit Pemeriksaan Dan Perundingan (UPMP) serta melaksanakan Sistem e-PBT di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menghapuskan peluang dan ruang untuk perlakuan rasuah," katanya.

Selain itu, Abdul Ghani berkata, kerajaan akan meningkatkan penyertaan wanita dalam penjanaan ekonomi daripada hanya 43 peratus kepada antara 60 dan 65 peratus serta meningkatkan penyertaan OKU dalam sektor pekerjaan dengan memperuntukkan sekurang-kurangnya satu peratus peluang pekerjaan di sektor awam untuk OKU selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Awam Bil 3/2008.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 20 NOVEMBER 2009

Tiada ulasan: