PENGUNJUNG SETIA

27 November 2009

KHALID TIADA HAK SEKAT BTN

Oleh Mohd Roji Abdullah, S Anand Kumar dan Zanariah Abd Mutalib
bhnews@bharian.com.my


MUHYIDDIN melihat sebahagian daripada 31 lembu yang akan dikorbankan sempena Aidiladha di Kompleks Seri Pekembar Pagoh, Muar, semalam.

Muhyiddin persoal kuasa MB Selangor haramkan sertai kursus kenegaraan

PAGOH: Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan sama ada kerajaan Selangor mempunyai kuasa untuk menghalang pihak lain menyertai kursus kenegaraan yang dikendalikan oleh Biro Tata Negara (BTN).

Timbalan Perdana Menteri juga mempertikaikan peruntukan undang-undang yang digunakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mengharamkan pelajar dan kakitangan awam menyertai program berkenaan.

"Atas kuasa apa dia (Abdul Khalid) nak sekat... saya nak tahu kuasa apa. Hanya kerana dia Menteri Besar?. Harus diingat, rakyat ada kebebasan. Kalau mereka hendak menghayati semangat 1Malaysia dan BTN sebuah agensi yang boleh membantu, kenapa nak dihalang.

"Kalau dia arahkan pegawai dia tidak pergi... itu hak dia dan tentunya pegawai dia terpaksa ikut. Tetapi, dia tidak boleh sekat pihak lain yang melihat BTN agensi yang boleh membantu membangkitkan semangat perjuangan dan memajukan negara," katanya selepas menyerahkan 31 lembu korban di Dewan Seri Pekembar di sini, semalam..

Kelmarin, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali, berkata larangan itu dikeluarkan kerana kursus BTN sekadar 'sesi membasuh otak' yang sengaja diada-adakan oleh BN tanpa memberi kebaikan kepada peserta.

Beliau turut mendakwa kursus itu tidak relevan kerana menjadi tempat memupuk semangat perkauman di kalangan peserta yang boleh memecah-belahkan masyarakat.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kenyataan itu tidak betul kerana kerajaan BN tidak pernah berniat jahat dan tidak pernah menyediakan modul 'membasuh otak' seperti yang didakwa.

Sebaliknya, menurut Muhyiddin, tindakan menghalang kakitangan kerajaan negeri dan pelajar institusi pengajian tinggi milik negeri mengikuti program BTN hanya akan menyekat usaha meningkatkan semangat cintakan negara serta menerapkan pemahaman konsep gagasan 1Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan pusat menubuhkan BTN sejak sekian lama untuk menerapkan semangat patriotisme dan kini beberapa perubahan dibuat selaras keperluan semasa.

"Program BTN sekarang banyak diolah semula supaya pengisiannya lebih mantap dan menjurus kepada konsep gagasan 1Malaysia.

"Kita bukannya hendak menukar peserta menjadi ahli Umno atau BN, tetapi cuma hendak menjelaskan gagasan kerajaan. Mungkin Menteri Besar menerima gambaran dari beberapa pihak lain mengenai program BTN tanpa menelitinya," katanya.

Di KUALA LUMPUR, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kerajaan negeri perlu lebih terbuka dalam mendedahkan maklumat kepada rakyatnya dan bukan menentukan apa yang boleh atau tidak boleh disampaikan kepada rakyat.

SUMBER: BERITA HARIAN, 27 NOVEMBER 2009

Tiada ulasan: