PENGUNJUNG SETIA

08 November 2009

1MALAYSIA ASAS PERPADUAN

LEDANG 7 Nov. - Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman menegaskan Gagasan 1 Malaysia yang diterjemah sebagai asas perpaduan akan menjamin kepentingan setiap kaum di negara ini terus terpelihara.

Beliau memberitahu, konsep yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu merupakan perjuangan untuk membela nasib setiap kaum dan memastikan kemajuan dapat dikecapi bersama.

"Saya percaya (Gagasan 1 Malaysia) akan diterjemah sebaiknya dalam pentadbiran dan semua lapisan masyarakat akan mendapat pembelaan sewajarnya daripada kerajaan kita.

"Perkara ini perlu kita hargai kerana ada pihak yang cuba mengambil alih tampuk pemerintahan dengan menimbulkan perpecahan di kalangan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Terbuka Deepavali anjuran MIC Bahagian Ledang di Dewan Jubli Intan, Tangkak di sini malam tadi.

Hadir sama dalam majlis berkenaan adalah Pengerusi MIC Johor, Datuk K. S. Balakrishnan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gambir yang juga Exco kerajaan negeri, M. Asojan; dan Ketua MIC Bahagian Ledang, T. Murugiah.

Dalam pada itu, menurut Abdul Ghani, kebajikan masyarakat India di negeri ini akan terus diberi perhatian dengan pelbagai peruntukan telah disalurkan termasuk pembinaan kemudahan infrastruktur dan bantuan pendidikan.

Menurutnya, peruntukan yang bermatlamat menggerakkan program pembangunan masyarakat India itu merupakan penghargaan terhadap sokongan padu masyarakat berkenaan terhadap kerajaan yang ada kini.

"Kita mahu tiada yang tertinggal, terlepas pandang atau tercicir daripada pandangan kerajaan kerana kita mahu memastikan semuanya terbela," katanya.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 8 NOVEMBER 2009

Tiada ulasan: