PENGUNJUNG SETIA

23 November 2009

PENGUSAHA IKS DI JOHOR SEMAKIN MAJU

foto l hairulabubakar l medkom
Serah...Menteri Besar, Dato' Abdul Ghani Othman menyampaikan mesin penguli tepung kepada usahawan IKS sambil diperhatikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Aziz Kaprawi.
LEDANG, 23 Nov: Kira-kira dua puluh peratus usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) berasaskan pertanian di negeri ini mampu memperoleh pendapatan RM500 ribu setahun manakala enam peratus lagi berjaya mencapai hingga RM1 juta.
Menteri Besar, Dato’ Abdul Ghani Othman, berkata statistik memberangsangkan itu adalah hasil pelbagai inovasi usahawan terbabit di samping galakan berterusan daripada pihak kerajaan.

Katanya, peningkatan dalam permintaan terhadap produk keluaran industri ini didorong oleh usaha penjenamaan semula di samping memperkenalkan kaedah pembungkusan menarik produk-produk berkenaan.

“Sejak 14 tahun lalu, industri ini telah melalui pelbagai fasa perubahan demi memenuhi keperluan pasaran tempatan sekali gus bertapak serta terus bertahan menyaingi pelbagai produk lain yang muncul.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri pula, kita sudah mula mengambil langkah membantu para pengusaha IKS dalam bentuk geran RM1juta setahun sejak 2002 melalui Agro Bank,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan mesin dan peralatan di bawah Program Galakan Usahawan anjuran Jabatan Pertanian Negeri Johor di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, di sini, kelmarin.

Pada majlis itu, Abdul Ghani menyampaikan 45 mesin pelbagai jenis termasuk mesin penguli tepung, mesin pengisar dan peralatan membuat perabot kepada pengusaha IKS di kawasan Dewan Negeri Serom, Sungai Abong, Tangkak, Maharani dan Gambir.

SUMBER: PEJABAT MENTERI BESAR JOHOR

Tiada ulasan: