TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

22 November 2009

MUHAMMAD SYAFIQ MAHU JADI JURUTERA BANGUNAN

TOKOH Murid SKPK, Muhammad Syafiq Mohamed Karim

HAI ROZZAMAN JALAL | BERITA MINGGU

MUAR: Cita-cita menjadi seorang jurutera bangunan terkenal yang tersemat dalam hatinya menjadi peniup semangat untuk Muhammad Syafiq Mohamed Karim (kanan) cemerlang dalam akademik hingga berjaya memperoleh 5A pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan Khamis lalu.

Tokoh Murid 2009 Sekolah Kebangsaan Parit Kasan (SKPK), Bukit Gambir, dekat sini berkongsi kegembiraan bersama empat lagi rakannya yang turut mendapat 5A, sekali gus membanggakan semua pihak terutama ibu bapa dan guru.

Dia dilahirkan di Kota Kinabalu, Sabah ketika bapanya, Mohamed Karim Hasan Muhali dan ibu, Saodah Mohd Kusmi bertugas sebagai pendidik di sana dan bakat kepemimpinannya membolehkan Muhammad Syafiq dilantik ketua pengawas selain beberapa jawatan dalam unit beruniform dan persatuan.

Selain cemerlang dalam akademik, dia aktif dalam kokurikulum dan mewakili sekolah dalam pertandingan bola sepak, bola baling dan catur ke peringkat daerah serta tersenarai dalam pemilihan Tokoh Nilam Daerah Muar 2009 hasil sikap suka membaca bahan bacaan berfaedah di Pusat Sumber Sekolah.

Sikap tokoh murid itu sentiasa disenangi rakannya kerana tidak lokek ilmu dan sering berkongsi dan membantu mereka apabila ada pelajaran yang tidak difahami.

"Saya berterima kasih kepada ibu bapa yang banyak memberi dorongan dan semangat serta guru yang mendidik dan memberi tunjuk ajar sehingga mencapai kejayaan cemerlang ini," katanya.

Mohamed Karim pula berkata, pencapaian cemerlang anaknya dalam akademik mula menyerlah pada Tahun Satu apabila sering mendapat tempat teratas di kelas hasil ketekunannya yang sering mengisi masa terluang dengan membaca buku dan melukis selain mengulangkaji pelajaran.

SUMBER: BERITA MINGGU, 22 NOVEMBER 2009

Tiada ulasan: