PENGUNJUNG SETIA

24 November 2009

FMC ANJUR KARNIVAL JUALAN MEGA LEDANG

Oleh Hai Rozzaman Jalal

LEDANG: Faceless Motor Club (FMC) dan Majlis Daerah Tangkak (MDT) menganjurkan Karnival Jualan Mega 2009 selama enam belas hari bermula 21 November hingga 6 Disember ini di Dataran Dewan Serbaguna Bukit Gambir.

Pengerusi FMC, Razali Yacob, berkata karnival itu bertujuan untuk menghimpunkan para peniaga dari seluruh negeri ini memasarkan produk jualan mereka melalui gerai yang disediakan.

Katanya, karnival itu yang menyediakan pelbagai jenis jualan produk tempatan diharap dapat memberikan kemudahan kepada penduduk di sekitar Bukit Gambir khasnya selain pengunjung dari luar daerah ini membeli-belah sempena cuti persekolahan.

Razali berkata, melalui penganjuran karnival itu dapat mempromosikan daerah Ledang kepada pengunjung luar yang mempunyai banyak tempat menarik yang boleh dikunjungi.

Menurutnya, sepanjang karnival itu berlangsung pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan karaoke, ceramah perdana, teka anak mancis, pertandingan kereta dan motosikal cantik akan diadakan.

“Pada minggu pertama karnival, sebelah malam akan diisi dengan pertandingan karaoke peringkat saringan dan program menghayati raya Aidiladha.

“Minggu kedua pula akan diadakan persembahan artis tempatan seperti Iwan, Rosalinda Ay Mor dan Bandi Amuk, konsert 60-an dan ceramah perdana,” katanya.

Razali berkata, peminat kereta dan motosikal di sekitar Johor dan luar Johor dipelawa menyertai pertandingan autoshow yang akan diadakan sempena karnival tersebut.

Menurut beliau, pertandingan autoshow untuk pemilik kereta akan diadakan pada 29 November sempena perasmian karnival yang akan dilakukan oleh Ahli Parlimen Ledang, Hamim Samuri manakala bagi motosikal pula akan diadakan pada 6 Disember.

Katanya, peminat kereta dan motosikal yang ingin menyertai pertandingan autoshow boleh menghubungi Zainal di talian 014-2337550 manakala mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai aktiviti sepanjang karnival itu menghubungi urusetia Jazz Mal Production & Entertainment di talian 016-7626286/017-7606005 (Jamal), 013-6370364 (Azura) atau 017-7092129 (Azly).

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 24 NOVEMBER 2009

Tiada ulasan: