PENGUNJUNG SETIA

19 November 2009

55,356 CALON DUDUKI SPM DI JOHOR


MARKOM Giran (berdiri kanan) melawat pelajar-pelajar yang sedang mengambil peperiksaan SPM di Sekolah Kebangsaan Kempas, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 18 Nov. - Seramai 55,356 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini bermula hari ini hingga 16 Disember depan.

Timbalan Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran berkata, kesemua calon berkenaan ditempatkan di 395 pusat peperiksaan.

Katanya, daripada jumlah itu 48,175 orang merupakan calon sekolah kerajaan, 637 calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), 174 calon sekolah bantuan kerajaan negeri, 2,995 calon sekolah swasta dan 3,375 calon persendirian.

Beliau berkata, seramai 150 penyelia kawasan, 395 ketua pengawas dan 2,683 pengawas mengawasi kelancaran peperiksaan berkenaan.

''Calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula seramai 6,069 orang yang menduduki peperiksaan dan ditempatkan di 88 pusat peperiksaan," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Kempas, di sini.

Markom berkata, seramai empat calon menduduki peperiksaan di hospital iaitu masing-masing dua di Segamat dan bandar raya ini.

"Seramai enam orang turut menduduki peperiksaan SPM di Sekolah Integrasi Penjara Kluang dan tiga lagi di Sekolah Tahanan Bukit Senyum.

Sebagai persiapan menghadapi kemungkinan banjir, pihaknya turut menubuhkan 'gerakan payung' bagi membantu calon-calon yang terjejas.

Justeru, beliau meminta ibu bapa menghubungi pihak sekolah sekiranya anak mereka menghadapi kesulitan akibat banjir.

Markom berkata, setakat ini semua sekolah menengah di negeri ini bebas daripada banjir kecuali Sekolah Menengah Kebangsaan Temenggung Ahmad, Kundang Ulu, Muar yang diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.

Mengenai selesema babi atau Influenza A (H1N1), beliau berkata, pihaknya melakukan sarigan terhadap semua calon dan berdasarkan pemantauan hari ini, tiada seorang pun calon yang dijangkiti penyakit itu dikesan.

SUMBER: UTUSAN MALAYSIA, 19 NOVEMBER 2009

Tiada ulasan: