PENGUNJUNG SETIA

29 November 2009

'PELABURAN TAK TERJEJAS'

Oleh Zalifah Mohd Yatim
bminggu@bharian.com.my

Pembangunan Iskandar Malaysia lancar: MB

TANGKAK: Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman yakin krisis bebanan hutang yang melanda syarikat pelaburan utama di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) tidak akan menjejaskan pelaburan asing serta pembangunan Iskandar Malaysia.

Beliau mengakui setakat ini, Iskandar Malaysia ada menerima pelaburan dari Dubai tetapi hanya merangkumi pelaburan hartanah di tapak seluas lapan hektar di Nusajaya.

“Hanya satu syarikat dari Dubai melabur di Iskandar Malaysia... mungkin hanya projek itu yang akan terjejas, katanya kepada pemberita selepas Majlis Korban Perdana Parlimen Ledang, di sini semalam.

Abdul Ghani mengulas laporan mengenai institusi pelaburan Dubai, iaitu Dubai World dan Nakheel yang berdepan krisis pembayaran hutang berbilion dolar.

Abdul Ghani berkata, kerajaan negeri sedia maklum mengenai perkembangan di Dubai, namun beliau yakin sumber pelaburan dari Timur Tengah masih kukuh.

“Kita dimaklumkan pelaburan dari Timur Tengah masih kukuh, paling banyak yang melabur di Iskandar Malaysia ialah Abu Dhabi. Malah projek utama di Iskandar Malaysia seperti Taman Tema Lego, Taman Tema Tertutup Kanak-kanak dan universiti antarabangsa berjalan lancar,” katanya.

SUMBER: BERITA MINGGU, 29 NOVEMBER 2009

Tiada ulasan: