TONTON ASTRO AWANI

PENGUNJUNG SETIA

11 November 2009

14 REMAJA DITAHAN

Oleh Junita Mat Rasid
bhnews@bharian.com.my

ANTARA motosikal dirampas dalam operasi polis di Sungai Mati, Tangkak.

Dua geng terbabit curi motosikal, pecah rumah di Ledang

TANGKAK: Dua geng remaja yang aktif dalam kegiatan curi motosikal dan pecah rumah di sekitar daerah Ledang, di sini tumpas apabila 14 anggotanya ditahan polis dalam siri operasi di Sungai Mati dan bandar ini.

Dalam kes curi motosikal, seramai tujuh remaja berusia 14 hingga 17 tahun, termasuk enam daripadanya masih bersekolah, diberkas dalam serbuan di rumah mereka di sekitar Sungai Mati.


Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris, berkata susulan penahanan kumpulan itu, pihaknya merampas tiga motosikal curi dan beberapa komponen motosikal yang dileraikan termasuk dua rangka motosikal yang dibuang ke Sungai Serom.

Katanya, tangkapan juvana termasuk enam yang masih bersekolah di Tingkatan Dua hingga Tingkatan Empat itu dijalankan dalam siri operasi mulai jam 9.30 pagi pada 18 Oktober lalu, hasil maklumat awam dan risikan polis.

"Kumpulan itu dipercayai mencuri motosikal sebelum menjual dengan harga antara RM100 hingga RM150 termasuk komponen motosikal yang dileraikan dalam tempoh beberapa jam selepas dicuri," katanya.

Harun (kanan) menunjukkan rangka motosikal pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Ledang.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya sudah mengenal pasti lima kes curi motosikal yang dilakukan oleh kumpulan itu dan siasatan masih dijalankan bagi mengaitkan pembabitan mereka dengan kes kehilangan motosikal di daerah itu.

Katanya, kumpulan remaja itu yang tinggal di kawasan kampung berhampiran dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri motosikal dalam tempoh tiga bulan lalu.

Sementara itu Harun berkata, pihaknya menahan enam remaja berusia 16 hingga 24 tahun dan seorang lelaki berusia 44 tahun selepas dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah pecah rumah di sekitar Tangkak.

Katanya, kumpulan itu ditahan dalam operasi 14 Oktober lalu dan polis turut menemui beberapa telefon bimbit dan barang kemas yang dicuri.

"Kumpulan remaja itu dipercayai terbabit memecah rumah, manakala lelaki yang berusia 44 tahun itu bertindak sebagai pembeli barang curi termasuk telefon bimbit dan barang kemas," katanya.

Harun berkata, setakat ini pihaknya sudah mengenal pasti tiga kes pecah rumah dan satu kes curi dalam rumah yang membabitkan kumpulan itu tetapi masih menjalankan siasatan lanjut kemungkinan mereka terbabit dalam kes lain.

Beliau berkata, seorang ahli kumpulan itu yang berusia 16 tahun juga didapati sudah tidak bersekolah dan ujian air kencingnya turut mendapati beliau positif penggunaan dadah jenis heroin.

Sementara itu dalam kes berasingan kira-kira jam 10.30 malam pada 2 November lalu di Batu 13, Jalan Muar-Tangkak, polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun dan hasil pemeriksaan terhadap keretanya, polis menemui peralatan rumah termasuk pemotong besi dan pisau, malah siasatan mendapati kereta Kia Spectra yang dipandunya adalah dicuri di Rembau, Negeri Sembilan April lalu.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 11 NOVEMBER 2009

Tiada ulasan: