PENGUNJUNG SETIA

22 November 2009

JOHOR BERSEDIA HADAPI BANJIR

Oleh Junita Mat Rasid

Pengalaman 2006, 2007 jadi panduan

BUKIT GAMBIR: Kerajaan Johor sudah bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir dengan memastikan semua keperluan logistik tersedia, termasuk pusat penempatan mangsa banjir dan bekalan makanan mencukupi.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, berkata kerja memperdalamkan sungai dan sistem perparitan juga giat dijalankan bagi menampung limpahan air hujan.

Katanya, persiapan dijalankan berdasarkan pengalaman Johor menghadapi banjir teruk akhir 2006 dan awal 2007 sehingga menyebabkan banyak kawasan ditenggelami air dan ramai penduduk terpaksa dipindahkan.

“Kita membuat persiapan hadapi banjir setiap hujung tahun berikutan pengalaman pada 2006 dan 2007, termasuk memperdalamkan sungai dan parita bagi memastikannya dapat menampung limpahan air hujan,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Mesin dan Peralatan Program Galakan Usahawan di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, dekat sini, beliau berkata, melalui kedua-dua langkah itu kerajaan negeri yakin perancangan menghadapi banjir hujung tahun ini berjalan lancar.

Katanya, Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-Mukim (JPMM) di setiap daerah juga turut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga bagi menghadapi kemungkinan bencana itu, manakala kerajaan negeri sentiasa berhubung dengan Jabatan Metereologi bagi mendapat maklumat awal keadaan cuaca.

Bagaimanapun, Abdul Ghani berkata, hasil pengamatan mendapati taburan hujan lebat yang boleh menyebabkan banjir pada hujung tahun ini lebih bertumpu ke negeri di Pantai Timur dan utara.

SUMBER: BERITA MINGGU, 22 NOVEMBER 2009

Tiada ulasan: