PENGUNJUNG SETIA

18 November 2009

PELAJAR PARAH JATUH TEMBOK

Oleh Zalifah Mohd Yatim
zalifah@hmetro.com.my

Bapa dakwa pusat rekreasi tidak utamakan keselamatan

MUAR: Seorang pelajar tingkatan tiga parah di kepala dan tengkuk selepas terjatuh daripada ketinggian 10 meter ketika terbabit aktiviti memanjat tembok di sebuah pusat rekreasi air di Air Keroh, Melaka.

Muhammad Syafiq Iskandar, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mamat, Tangkak yang menunggu keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) terjatuh ketika menyertai Program Aktiviti Pendidikan Luar (Rimup) bersama 120 pelajar lain, kira-kira jam 10.30 pagi Khamis lalu.

Bapa mangsa, Iskandar Baiman, 48, berkata dia kesal dengan kecuaian pusat rekreasi itu menyebabkan anaknya terjatuh ketika menyertai kegiatan memanjat tembok dan kini anaknya masih dirawat di Hospital Pantai Melaka.

"Saya kesal dengan penganjur pusat rekreasi itu yang tidak menitikberatkan soal keselamatan sehingga anak saya terjatuh.

"Saya dimaklumkan pelajar perlu memakai sendiri peralatan keselamatan tanpa diperiksa terlebih dulu oleh kakitangan bertugas selain tidak dilengkapi topi keselamatan serta kasut," katanya ketika ditemui di sini.

Menurutnya, kejadian sama akan berterusan jika pemeriksaan keselamatan aktiviti di kem berkenaan tidak dijalankan secara terperinci.

"Jika prosedur keselamatan dipatuhi dengan sepenuhnya, saya yakin tiada berlaku kejadian yang menyebabkan kecederaan peserta terjatuh dan sepatutnya semua kegiatan lasak itu perlu diawasi dengan baik," katanya.

Beliau berkata, doktor memaklumkan terdapat pendarahan di kepala anaknya akibat kejadian berkenaan.

Iskandar berkata, walaupun tidak memerlukan pembedahan tetapi tahap kesihatan anaknya perlu dipantau bagi melihat kesan terhadap kesihatannya terutama jangka panjang.

SUMBER: HARIAN METRO, 18 NOVEMBER 2009.

Tiada ulasan: