PENGUNJUNG SETIA

22 November 2009

JOHOR LAHIRKAN 20 JUTAWAN IKS

ABD GHANI sedang menyerahkan mesin penguli tepung kepada penerima di Dewan Serbaguna Bukit Gambir.

FOTO: ADISABARIMAN: iNFOLEDANG


ABDUL GHANI OTHMAN


LEDANG 21 Nov. - Industri kecil dan sederhana (IKS) berasaskan pertanian di Johor menyaksikan perkembangan positif apabila berjaya melahirkan seramai 20 usahawan yang mencatatkan pulangan perniagaan lebih RM1 juta.

Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, beliau yakin jumlah usahawan berkenaan akan terus bertambah menerusi pelbagai penambahbaikan di samping galakan berterusan daripada kerajaan.

Katanya, kejayaan tersebut dicapai bukan hanya kerana kemampuan para pengusaha meningkatkan pengeluaran, malah menerusi pelbagai strategi untuk menambah nilai produk dengan penjenamaan dan pembungkusan.

"IKS di negeri Johor sudah berkembang luas dan menjadi satu fenomena besar berbanding 14 tahun lalu ketika ia dikenali sebagai industri hiliran.

"Kita kini dapat lihat bagaimana industri ini berkembang saiz demi saiz sama ada dari segi pengeluaran dan juga kepelbagaian produknya di pasaran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Mesin dan Peralatan dalam Program Galakan Usahawan anjuran Jabatan Pertanian Negeri Johor di Dewan Serbaguna Bukit Gambir, di sini semalam.

Pada majlis berkenaan, seramai 45 usahawan dari daerah Ledang dan Muar menerima bantuan pelbagai mesin dan peralatan termasuk mesin penguli tepung, mesin pengisar, tong isolasi dan peralatan membuat perabot.

Menurut Abdul Ghani, sehingga kini, seramai 1,1000 usahawan telah didaftarkan mengikut Jabatan Pertanian Negeri dan jumlah tersebut tidak melibatkan peserta daripada agensi-agensi kerajaan lain yang turut merangkumi Mara, Tekun serta Felda.

"Daripada statistik jabatan, bilangan pengusaha yang mencapai tahap pulangan RM500,000 adalah seramai 200 orang manakala mereka yang mencapai nilai jualan sekitar RM500,000 hingga RM1 juta adalah sebanyak 70 orang," katanya.

Katanya, jumlah keseluruhan usahawan yang terlibat itu boleh membawa pulangan tahunan bernilai lebih RM100 juta.

Beliau memberitahu, kerajaan negeri giat untuk membantu golongan usahawan tani dengan geran peruntukan bernilai RM1 juta disalurkan setiap tahun oleh Jabatan Pertanian selain daripada geran pinjaman bernilai RM1 juta yang diuruskan Agro Bank.

Katanya lagi, pengagihan geran peruntukan sejak tahun 2002 itu membolehkan para usahawan untuk mendapatkan bantuan mesin dan peralatan bagi lebih berdaya saing dalam perniagaan.

SUMBER: MINGGUAN MALAYSIA, 22 NOVEMBER 2009

Tiada ulasan: