PENGUNJUNG SETIA

26 November 2009

MANFAAT PERPUSTAKAAN AWAM

Oleh Hai Rozzaman Jalal

PENGUNJUNG Perpustakaan Awam Bukit Gambir sedang berurusan di kaunter pinjaman buku.

Penduduk Bukit Gambir diminta ambil peluang guna kemudahan

LEDANG: Orang ramai khususnya yang tinggal di sekitar Bukit Gambir, di sini dipelawa mengunjungi Perpustakaan Awam Cawangan Bukit Gambir yang menyediakan banyak kemudahan untuk mereka.

Perpustakaan yang ditubuhkan sejak Mei 2007 itu dikelolakan Perbadanan Perpustakaan Awam Johor (PPAJ) dan terletak di bangunan Dewan Serbaguna Bukit Gambir bersebelahan Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir.

Pustakawan, Noor Aida Naim, berkata sehingga kini seramai 1,700 orang sudah mendaftar sebagai ahli perpustakaan itu terdiri daripada pelbagai peringkat umur.

Katanya, masyarakat di sekitar Bukit Gambir diminta mengambil peluang menggunakan kemudahan disediakan demi menambah ilmu dan menerapkan budaya membaca di kalangan mereka.

“Golongan dewasa dan kanak-kanak boleh menjadikan perpustakaan ini sebagai tempat rujukan atau bersantai kerana ia adalah gedung ilmu yang menyimpan banyak buku rujukan serta menyediakan majalah dan akhbar harian pelbagai bahasa,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang berminat menjadi ahli boleh mendaftar di perpustakaan itu secara percuma, manakala RM1 dikenakan sebagai bayaran kad ahli seumur hidup.

Katanya, ada lebih 15,000 koleksi buku ilmiah, rujukan dan kanak-kanak di perpustakaan itu yang boleh dipinjam ahli perpustakaan.

“Bagi menggalakkan budaya membaca di kalangan ahli, mereka dibenarkan meminjam lima buku untuk sekali pinjaman dengan tempoh pinjaman dua minggu.

“Selain buku, ahli juga boleh meminjam majalah terkini atau akhbar,” katanya.

Noor Aida berkata, perpustakaan itu dibahagi kepada dua ruang bacaan iaitu sebahagian ruang untuk pengunjung dewasa manakala sebahagian lagi untuk pengunjung kanak-kanak di bawah 12 tahun.

Beliau berkata, perpustakaan itu sedia bekerjasama dengan mana-mana pihak yang berminat mengadakan aktiviti seperti bengkel, kempen membaca atau pertandingan mewarna.

"Sempena cuti persekolahan, perpustakaan mengadakan program Bingo di mana peminjam buku terbanyak akan diberikan sagu hati sebagai galakan dan memupuk minat membaca di kalangan murid-murid sekolah.

"Perpustakaan itu turut menyediakan perkhidmatan salinan untuk kemudahan pengunjung selain kemudahan WIFI untuk mengakses internet," katanya.

Bagi mereka yang ingin mendapatkan maklumat lanjut berkaitan perpustakaan itu boleh menghubungi beliau di talian 06-9763566, pada waktu pejabat.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 26 NOVEMBER 2009

Tiada ulasan: