PENGUNJUNG SETIA

25 November 2009

BAKAL BERGELAP

Oleh Jamaludin Husin
jamaludin@bharian.com.my

SEBAHAGIAN penduduk Kampung Paya Panjang, Bukit Pasir, Muar, menunjukkan bil semasa bagi bacaan tempoh tiga bulan dan notis pemotongan TNB.

Penduduk tanggung beban TNB baca meter 3 bulan sekali

MUAR: Ketika umat Islam bersedia meraikan Aidiladha yang bakal disambut lusa, kira-kira 20 keluarga di Kampung Paya Panjang, Bukit Pasir, di sini berdepan dengan tindakan pemotongan bekalan elektrik di premis mereka, jika gagal menjelaskan tunggakan bagi penggunaan elektrik.

Penduduk terbabit mendakwa mereka menerima notis pemotongan bekalan elektrik dari Pejabat cawangan Tenaga Nasional Bhd (TNB) daerah bertarikh 19 November lalu, selepas dua hari menerima bil elektrik bagi penggunaan semasa yang diterima pada 17 November lalu, termasuk tunggakan untuk bacaan berakhir bermula 15 Ogos hingga 15 November.

Mereka mendakwa, pemotongan akan dibuat pada awal Disember ini selepas penduduk menerima bil semasa terakhir pada 17 Ogos lalu, iaitu bagi bacaan meter semasa sehingga 14 Ogos.

Pemandu lori, Mazlan Mat Shah, 45, mendakwa beliau terkejut apabila menerima bil semasa bagi bacaan meter sehingga 15 November berjumlah keseluruhannya RM477.50 sen dengan kadar tunggakan RM309.85.

Katanya, beliau menerima bil terakhir bagi bacaan meter penggunaan bagi Julai dan Ogos, melalui bil semasa bertarikh 14 Ogos, dengan jumlah kadar penggunaan RM138.42 sen.

“Selepas tarikh itu, pihak TNB tidak melakukan pembacaan meter di rumah kami, sehinggalah pada 17 November lalu, saya menerima bil semasa yang menyatakan bacaan penggunaan sehingga 15 November, sebanyak RM477.50 sen, termasuk tunggakan RM309.85 sen.

“Lebih mengejutkan lagi ialah selepas dua hari menerima bil semasa, saya menerima pula notis pemotongan bekalan elektrik, sekiranya gagal menjelaskan tunggakan dalam tempoh seminggu, iaitu sebelum 1 Disember ini,” katanya, ketika ditemui di kampung berkenaan, di sini, semalam.

Mazlan menyatakan kesal dengan tindakan pihak TNB kerana tidak melakukan pembacaan meter setiap bulan, sehingga menyebabkan pengguna terpaksa menjelaskan bil tertunggak dan berdepan dengan tindakan pemotongan jika gagal membuat bayaran pada tempoh ditetapkan.

Penoreh getah, Sitam Abdullah, 42, berkata dia turut menerima notis pemotongan kerana didakwa gagal menjelaskan tunggakan sebanyak RM55.85 sen melalui bil semasa penggunaan yang jumlah keseluruhannya sebanyak RM93.20, yang diterimanya, pada 17 November lalu.

Beliau berkata, penggunaan elektrik di rumahnya pada kadar RM30 hingga RM35 sebulan, tetapi kelewatan membaca meter, menyebabkan dia terpaksa menjelaskan bayaran sehingga tiga kali ganda.

“Pihak TNB tidak sepatutnya melambatkan pembacaan meter elektrik, bagi mengelak pengguna dibebankan dengan bayaran bil semasa dengan jumlah yang besar.

“Walaupun pihak TNB mengarahkan kami membayar tunggakan, namun jumlah itu dimasukkan ke dalam bil semasa dan pada masa yang sama sudah tentu petugas kaunter mengarahkan kami menjelaskan jumlah keseluruhan yang tercatat dalam bil itu,” katanya.

Pesara guru, Selamat Sirin, 67, mendakwa sepanjang tempoh dua bulan berkenaan dia tidak menerima bil bagi bacaan meter elektrik yang menyatakan jumlah bayaran yang perlu dijelaskan untuk bulan Ogos hingga Oktober.

Bagaimanapun, katanya, dia terkejut apabila menerima bil bagi bacaan sehingga 15 November dengan jumlah keseluruhannya RM314.35 sen dengan kadar tunggakan RM213.90 sen.

“Walaupun setakat ini, saya belum menerima notis pemotongan bekalan, tetapi tindakan pihak TNB melakukan pembacaan meter elektrik untuk tempoh tiga bulan sekali boleh menjejaskan struktur kewangan pengguna lebih-lebih lagi golongan pesara dan berpendapatan rendah,” katanya.

Sementara itu, Omar Othman, 43, mendakwa petugas membaca meter TNB melakukan pembacaan meter di rumah penduduk tertentu saja di kampung berkenaan sekali gus menimbulkan tanda tanya kepada pengguna lain terhadap sistem yang diguna pakai pihak terbabit.

“Ada penduduk kampung itu yang menerima bil semasa setiap bulan, sedangkan sebahagian mereka termasuk di kediaman kami menerima bil semasa tiga bulan sekali,” katanya yang turut menerima notis pemotongan jika gagal menjelaskan tunggakan RM229.10 sen sehingga 1 Disember ini.

SUMBER: BERITA HARIAN EDISI JOHOR, 25 NOVEMBER 2009

Tiada ulasan: